Loji Jana Kuasa berkapasiti 700 megawatt Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kapar. Foto Facebook Bernama Radio
AGENDANASIONAL

Loji jana kuasa mesra alam bakal ganti penggunaan arang batu di Kapar

Oleh AZIAN AZIZ

AMPANG JAYA, 4 FEB: Loji jana kuasa 1,400 megawatt yang menggunakan arang batu di Kapar, Klang akan diganti dengan jentera lebih mesra alam sekitar pada 2030.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata kontrak loji di bawah Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu akan tamat sekitar tahun berkenaan dan Kerajaan Negeri bercadang untuk membuat tender baharu.

“Selepas kontrak tamat kita bercadang buat loji jana kuasa yang menggunakan gas dan hidrogen yang kosnya lebih berpatutan berbanding arang batu yang harganya mahal dan tidak mesra alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar peringkat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Menara MPAJ malam tadi.

Loy Sian menambah setakat ini sebuah loji jana kuasa mesra alam sekitar sedang dibangunkan di Pulau Indah, Klang.

“Loji 1,200 megawatt itu menggunakan tenaga turbin dan gas,” katanya menambah loji tersebut didirikan oleh Worldwide Holdings.

Pada 30 Mac 2021, Bernama melaporkan loji tersebut dibangunkan oleh Pulau Indah Power Plant Sdn Bhd yang 75 peratus kepentingannya dimiliki oleh Worldwide Holdings dan 25 peratus lagi oleh Korea Electric Power Corp.

Loji berkenaan terletak di kawasan tebus guna seluas 24.28 hektar di mukim Klang berdekatan dengan Zon Bebas Pelabuhan Klang.

Projek bernilai RM3.3 bilion tersebut sebahagiannya dibiayai oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan melalui Menteri Kewangan (Diperbadankan).


Pengarang :