Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bersama agensi termasuk Plus mengawal insiden tumpahan minyak diesel dan hidraulik akibat kemalangan di KM 371.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan di susur keluar Slim River, Perak tengah malam 1 Februari 2023. Foto Facebook LUAS
AGENDAEXCONASIONAL

LUAS berjaya kawal insiden tumpahan minyak diesel, hidraulik akibat kemalangan treler

SHAH ALAM, 2 FEB: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengawal tumpahan minyak diesel dan hidraulik akibat kemalangan di KM 371.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan di susur keluar Slim River, Perak tengah malam tadi.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian memaklumkan tindakan pantas bersama agensi lain dapat mengelakkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Bernam River Headworks dengan anggaran jarak 22.7km terjejas.


Empat daripada lapan tong minyak hidraulik yang dibawa treler pecah dan berlaku tumpahan minyak diesel dalam kemalangan di KM 371.9 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan di susur keluar Slim River, Perak tengah malam 1 Februari 2023. Foto Facebook LUAS

Beliau berkata kemalangan membabitkan treler membawa lapan tong minyak hidraulik yang terbabas memasuki parit lebuh raya pada jam 12.40 tengah malam.

“Semakan mendapati terdapat empat daripada lapan tong minyak hidraulik yang dibawa treler terlibat pecah dan berlaku tumpahan minyak diesel.

“Tindakan pencegahan awal telah dilaksanakan oleh Plus dengan meletakkan habuk kayu di permukaan jalan bagi penyerapan minyak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Loy Sian berkata semakan lanjut mendapati tiada aliran minyak masuk ke longkang lebuh raya dan tiada sebarang aliran tercemar melepasi aliran longkang serta sungai berhampiran.

Menurutnya LUAS telah meletakkan habuk kayu di sepanjang aliran minyak tersebut bagi meningkatkan kawalan sebagai tindakan pencegahan.

“LUAS akan memantau keadaan di tapak sehingga kerja pembersihan tersebut selesai untuk memastikan tiada kesan susulan pencemaran terhadap sungai dan LRA di Selangor,” katanya.


Pengarang :