SHAH ALAM, 2 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meluluskan sebanyak 1,187 permohonan petak bazar Ramadan di 25 lokasi tahun ini, maklum Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya.
Ketuanya Shahrin Ahmad menjelaskan masih terdapat 94 kekosongan petak untuk dimohon dan peniaga yang berminat boleh membuat rayuan untuk diteliti pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Kita mohon peniaga bazar Ramadan nanti dapat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan termasuk menjaga kebersihan dan sentiasa memakai pelitup muka,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, taklimat kepada peniaga berhubung peraturan dan syarat berniaga semasa bulan Ramadan juga akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Lokasi bazar Ramadan sekitar MBSA meliputi Seksyen 6 hingga 8, Seksyen 16 hingga 20, Seksyen 24 hingga 28, Seksyen 35, Seksyen U2, U3, U5, U8, U10, U13, dan U20.
Sebarang pertanyaan boleh hubungi Jabatan Pelesenan MBSA di talian 03-5510 5133 sambungan 1762, 1486, 1699, 1317 atau 1366.