KUALA SELANGOR, 15 FEB: Muzium Perlombongan dan Kapal Korek di Dengkil dijangka siap selewat-lewatnya tahun hadapan, kata EXCO kebudayaan dan warisan.
Borhan Aman Shah berkata muzium yang menempatkan sebuah kapal korek biji timah antara yang terbesar dunia itu kini dalam proses pewartaan tanah.

“Muzium itu diurus dan diselia oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang). Mereka nampaknya bersungguh-sungguh untuk menyiapkannya.
“Saya yakin mereka dapat sempurnakan projek itu sekali gus memperoleh pengiktirafan UNESCO (Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Muzium Permainan Tradisional di Bukit Malawati di sini, semalam.

Pada Jun tahun lalu, Kerajaan Negeri memperoleh kapal korek biji timah antara terbesar di dunia seberat lebih 6,000 tan melalui MPSepang dengan kos lebih RM10 juta.
Terletak di Dengkil, ia dijadikan sebagai muzium bersejarah sekali gus menjadi tarikan baharu kepada pelancong tempatan dan luar.