Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan. Foto Facebook Polis Daerah Kajang
AGENDAJENAYAH

Penghantar makanan dicari polis, kejadian tendang pengawal keselamatan

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Polis sedang mengesan penghantar makanan yang bertindak menendang pengawal keselamatan bertugas di pos kawalan Taman Bukit Meringin dekat Sungai Ramal Luar, Kajang, pada 24 Februari lalu.

Kejadian berlaku jam 6.30 petang, ketika penghantar makanan bermotosikal itu berhenti di pos pengawal untuk meminta kebenaran masuk ke taman perumahan itu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata kejadian dipercayai berpunca rasa tidak puas hati penghantar makanan terhadap pengawal keselamatan selepas dia tidak dibenarkan masuk.

“Suspek beritahu dia hendak ke rumah ‘nombor 3’ di Taman Bukit Meringin tetapi pengawal keselamatan warga Nepal itu maklumkan rumah berkenaan kosong dan tiada penghuni serta tidak membenarkan suspek masuk.

“Suspek kemudian berang dan tidak puas hati dengan jawapan mangsa sebelum turun daripada motosikalnya dan melepaskan satu tendangan ke perut mangsa,” katanya lapor Berita Harian.

Mohd Zaid berkata, kejadian itu dirakam kamera papan pemuka (dash cam) kenderaan seorang saksi yang kebetulan hendak masuk ke kawasan perumahan itu.

Pengawal keselamatan terbabit kemudian memaklumkan kejadian terbabit kepada penyelianya yang kemudian tampil membuat laporan polis pada malam hari sama.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, Sarjan Ahmad A’fifi Ahmad Humaidi di talian 019-7142486.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.


Pengarang :