Foto Facebook Polis Klang Selatan
AGENDAJENAYAH

Dua lelaki disyaki curi kabel tembaga rumah pam air ditahan polis

KLANG, 27 FEB: Dua lelaki dipercayai mencuri kabel tembaga di sebuah rumah pam air di sini ditahan polis Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata kedua-dua suspek berusia 20-an, ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang juruteknik berkaitan kecurian di lokasi kejadian pada 22 Februari lalu jam 8.04 malam.

“Rondaan dilakukan juruteknik itu pada jam 3.30 petang mendapati pintu rumah pam air tersebut terbuka selain kunci pagar dipotong.

“Pemeriksaan mendapati kabel anggaran 150 meter yang berada dalam kawasan rumah pam tersebut telah dipotong,” katanya lapor Sinar Harian.

Beliau berkata anggaran kerugian kira-kira RM5,000 dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati sebuah kereta dinaiki dua lelaki memasuki kawasan rumah pam air itu dan bertindak memotong kabel tersebut.

Siasatan dijalankan membawa kepada tangkapan dua lelaki tempatan di lokasi berasingan pada jam 4.30 petang Sabtu lalu sekitar Jalan Armada Putra, Klang.

“Serbuan turut berjaya merampas kabel dan tembaga yang disyaki dicuri di tempat kejadian.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah,” katanya.

Katanya kedua-dua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.


Pengarang :