Orang ramai melakukan aktiviti riadah bersama keluarga di Pantai Morib, Banting pada 11 September 2021 selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran dan peralihan ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN). Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ribuan muat turun aplikasi pelancongan negeri, rujukan lokasi menarik

SHAH ALAM, 2 FEB: Hampir 2,000 pengguna memuat turun aplikasi pelancongan Go Selangor bagi mendapatkan pelbagai maklumat berhubung tempat menarik di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pengguna juga memberi maklum balas positif dan turut mencadangkan beberapa penambahbaikan seperti mempelbagai pakej tawaran.

“Ini satu perkembangan baik yang memuatkan pelbagai selera makanan dan minuman, gaya hidup, tempahan tiket dan aktiviti dalam Selangor.

“Terdapat beberapa cadangan penambahbaikan seperti memperbanyak lagi pakej tawaran. Semestinya perkara ini akan dipertimbang sebaiknya pihak berkaitan demi memenuhi selera pengguna,” katanya menerusi Facebook.

Amirudin turut mengalu-alukan pengunjung ke Selangor supaya memuat turun aplikasi tersebut untuk mengetahui pelbagai tempat dan aktiviti menarik yang boleh dilakukan di negeri itu.

“Insya-Allah Kerajaan Negeri berusaha sehabis baik memastikan aplikasi pelancongan ini memberi makna kepada percutian semua,” katanya.

Aplikasi Go Selangor memudahkan pengembara dari seluruh dunia mendapat akses bagi tempahan tiket, hotel, chalet, inap desa dan pengangkutan.

Dilancar 14 April tahun lalu, aplikasi dibangunkan hasil kerjasama syarikat pemula tempatan Tourplus Technology dengan kos RM3 juta selari usaha pendigitalan pelancongan Selangor.


Pengarang :