Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima Biasiswa Tabung Pendidikan Anak-Anak Syarikat dan Badan Berkanun Selangor (TPASBB) di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 3 Februari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor belanja hampir RM13 juta biaya kakitangan anak syarikat, waris sambung belajar

PETALING JAYA, 3 FEB: Sejumlah RM12.893 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri bagi membiayai 561 kakitangan anak syarikat dan badan berkanun atau waris mereka menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif menerusi Tabung Pendidikan Anak-anak Syarikat dan Badan Berkanun Negeri Selangor (TPASBB) itu melibatkan tajaan yuran, elaun buku, perkakas, sara hidup serta kos kajian.

Jelasnya jumlah berkenaan diagih kepada pelajar yang mengikuti pengajian peringkat sijil hingga doktor falsafah (PhD) sepanjang 2013 hingga tahun lalu.

“Secara purata setiap pelajar ditaja antara RM4,900 hingga RM13,550 satu semester. Kakitangan yang terima biasiswa ini terikat dengan Kerajaan Negeri manakala anak mereka bakal ditawarkan peluang kerja.

“Kita harap penerima akan dapat menyumbang khidmat, bakti atau kemampuan kepada Selangor. Ini adalah aspek kelestarian bekalan modal insan secara berterusan dan mengikut situasi semasa,” katanya.

Beliau berucap di majlis ramah mesra bersama penerima biasiswa TPASBB di Kelab Golf Seri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata dana tabung berkenaan merupakan hasil sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad dan Permodalan Negeri Selangor Berhad.

“Turut menyumbang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor. Anak syarikat ini sediakan dana dan kita kumpulkan untuk melihat peningkatan kerjaya termasuk dalam kalangan waris.

“Setakat ini semua penerima mencapai keputusan yang memberangsangkan kerana syaratnya yang ketat. Keputusan juga dinilai mengikut skema Jabatan Perkhidmatan Awam dan Majlis Amanah Rakyat (MARA),” katanya.


Pengarang :