Pengguna jalan raya terpaksa meredah banjir untuk ke Klang berikutan hujan lebat semalaman ketika tinjauan di Jalan Sungai Kandis, Shah Alam pada 18 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Amaran banjir kilat di lima daerah di Selangor, empat negeri lain dalam tempoh 24 jam

SHAH ALAM, 3 FEB: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hari ini mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat di Selangor dalam tempoh 24 jam di lima daerah jika hujan lebat berterusan.

Agensi itu menerusi Facebook yang dikongsikan Agensi Pengurusan Bencana Negara memaklumkan daerah yang diramal mengalami bencana tersebut ialah Klang, Petaling, Kuala Selangor, Sepang dan Kuala Langat.

“Di Klang, kawasan itu ialah mukim Klang, pekan Pandamaran, bandar Klang, pekan Kapar, mukim Kapar dan kawasan sekitar manakala Kuala Langat ialah mukim Kelanang, mukim Tanjung Duabelas, mukim Bandar, pekan Jenjarom, mukim Telok Panglima Garang serta kawasan sekitar.

“Di Kuala Selangor ialah mukim Pasangan, pekan Bestari Jaya serta kawasan sekitar sementara Petaling ialah mukim Damansara, mukim Bukit Raya, bandar Shah Alam, pekan Hicom, mukim Sungai Buloh dan kawasan sekitar manakala di Sepang mukin Dengkil serta kawasan sekitar,” katanya hari ini.

Agensi itu turut memaklumkan beberapa daerah di Perak, Johor, Melaka dan Sarawak turut berisiko dilanda banjir kilat jika hujan lebat berterusan.

Notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutama di kawasan berisiko berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat dalam tempoh tersebut.

Untuk maklumat lanjut termasuk keadaan di negeri lain, orang ramai boleh layari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir.


Pengarang :