Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari membahas Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2023 ketika Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, Kuala Lumpur pada 1 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Amirudin cadang wujud pusat kecemerlangan kaji keperluan TVET secara menyeluruh

SHAH ALAM, 28 MAC: Ahli Parlimen Gombak mencadangkan pusat kecemerlangan yang berperanan mengkaji keseluruhan keperluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diwujudkan ke arah pemerkasaan bidang itu di negara ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perubahan besar-besaran terhadap bidang TVET harus ditetapkan dan diketuai Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan mengambil kira semua pandangan.

Beliau berkata keutamaan dan fokus kepada TVET harus diberi perhatian bagi memastikan negara mempunyai sumber manusia berkualiti sekali gus menjamin pelaburan bermutu dapat ditarik dalam menggerakkan ekonomi negara.

“Saya percaya sebagaimana di Jerman ia boleh dipraktikkan dengan melahirkan satu pusat kecemerlangan yang boleh mengkaji keseluruhan keperluan bidang teknikal dan vokasional sebelum disalurkan melalui institusi dan agensi yang kita ada.

“Kita mempunyai politeknik, kolej komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Mara dan beberapa yang lain. Di Jerman mereka ada Technical Universiti of Munich yang khusus disalurkan mereka untuk graduan sampai ke tahap masters (ijazah sarjana) dan ijazah doktor falsafah (PhD).

“Perubahan ini sewajarnya diketuai KPT dan dengan peruntukan sedia ada ini saya percaya ia boleh menggerakkan satu perubahan daripada hanya bergantung kepada penubuhan jawatankuasa,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 bagi KPT di Dewan Rakyat, hari ini.

Amirudin berkata universiti awam di negara ini sewajarnya membina keutamaan yang memberikan imej kepada universiti tersebut.

“Sebagai contoh, saya graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang memang terkenal dengan veterinar dan pertanian. Ia harus dikembang oleh universiti lain dan kajian yang digembleng di sana (universiti) harus menumpu kepada ‘niche’ (keutamaan) di samping tidak melupakan bidang lain,” katanya.

 


Pengarang :