Foto Arkib Selangorkini
AGENDANASIONAL

Isteri maut, suami masuk ICU lepas makan ikan buntal

KLUANG, 28 MAC: Isteri maut manakala suaminya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) selepas makan hidangan ikan buntal.

Ikan buntal itu dibeli menerusi Facebook melalui pembekal di Batu Pahat yang mendapatkan bekalan daripada nelayan di Endau.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon, berkata mangsa yang mengalami gejala sesak nafas dan menggigil, pada jam 3 petang Jumaat kemudian disahkan maut pada jam 7 mlam Sabtu lalu.

Beliau berkata, suami mangsa turut mengalami gejala sama kira-kira sejam selepas isterinya mendapat gejala berkenaan, lapor Berita Harian.

“Kerajaan Negeri Johor dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengambil maklum satu pelaporan keracunan makanan yang menyebabkan satu kematian di daerah Kluang.

“Ia membabitkan suami isteri yang tinggal di Jalan Sin Tiam Chamek, Kluang yang mendapatkan bekalan ikan buntal daripada penjual secara pratempahan melalui Facebook.

“Bekalan diterima pada pagi 25 Mac 2023, dibersihkan dan digoreng untuk dibuat makan tengah hari bersama sayur dan daging khinzir.

“Kedua-dua pasangan itu dibawa anak mereka yang tinggal berasingan ke Jabatan Kecemasan HEBHK pada jam 5 petang,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, difahamkan ini kali pertama pasangan itu makan masakan berasaskan ikan buntal.

Katanya, siasatan lanjut mendapati ikan berkenaan diperolehi daripada nelayan di Endau sebelum diambil pemborong untuk diproses di Batu Pahat.

“Penjual yang mengedarkan ikan buntal ini juga berasal dari Batu Pahat, membuat edaran kepada pelanggan berdasarkan tempahan melalui Facebook.

“Sebanyak 15 kilogram ikan buntal dijual di sekitar Chamek iaitu empat pelanggan, Paloh (4 pelanggan) dan Yong Peng (1 pelanggan) pada hari tersebut.

“Selain pasangan itu, semua pelanggan lain masih belum memakan ikan buntal yang dibeli,” katanya.

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kluang dan Batu Pahat telah mengambil sampel ikan itu daripada pelanggan yang membelinya.


Pengarang :