Tinjauan kediaman penduduk yang ditenggelami banjir di Kampung Parit Penghulu Benteng, Jasin pada 3 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bah di lima negeri, seramai 38,120 mangsa berlindung di PPS takat malam ini

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Keadaan banjir di beberapa negeri bertambah buruk apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 38,120 orang setakat malam ini berbanding 36,191 mangsa, petang tadi.

Menurut laporan Portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah itu membabitkan 34,849 mangsa di Johor, 2,186 mangsa (Pahang), 867 (Negeri Sembilan), 204 (Melaka) dan 14 di Sarawak.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir terus mencatat pertambahan berbanding 32,870 orang pada 4 petang tadi, meskipun banjir di daerah Kulai surut sepenuhnya.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan ini berikutan peningkatan mangsa di beberapa daerah sekali gus menyaksikan pembukaan 10 lagi PPS, menjadikan jumlah keseluruhan 225 PPS beroperasi di sembilan daerah.

Menurut JPBN, tiga PPS di Kulai iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Oil Palm, SJKC Bukit Batu dan Dewan Raya Kampung Murni Jaya telah ditutup sepenuhnya hari ini.

Jawatankuasa itu memaklumkan Segamat kekal daerah paling teruk terjejas dengan 12,250 orang daripada 3,545 keluarga, diikuti Batu Pahat 6,502 orang dari 1,907 keluarga; Kluang dengan 5,294 mangsa (1,539 keluarga) dan Kota Tinggi seramai 3,309 orang (897 keluarga).

Turut terjejas, Muar dengan 3,127 orang (919 keluarga); Tangkak 2,239 orang (624 keluarga); Johor Bahru 987 orang (306 keluarga); Mersing 780 orang (231 keluarga) dan Pontian 361 orang (90 keluarga).

Sebanyak 18 sungai di Segamat, Muar, Tangkak, Batu Pahat, Kluang dan Kota Tinggi melepasi paras bahaya, termasuk Sungai Muar di Lubuk Kepong (Segamat) yang merekodkan bacaan 20.90 meter (m) dan Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok (Batu Pahat) 20.15 m.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 204 orang daripada 50 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 162 orang daripada 40 keluarga pada 2 petang tadi.

Sekretariat JPBN Melaka memaklumkan empat PPS beroperasi di daerah Jasin termasuk PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chohong, PPS SK Seri Mendapat dan PPS SK Parit Penghulu serta PPS SK Parit Gantong yang dibuka pada 6.30 petang tadi.

Setakat ini, 18 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS SK Chohong, 36 orang daripada enam keluarga di PPS SK Seri Mendapat, 138 orang membabitkan 34 keluarga di SK Parit Penghulu manakala proses pemindahan mangsa terjejas ke PPS SK Parit Gantong sedang dilakukan.

Selain itu, jumlah mangsa banjir di Alor Gajah kekal 12 orang membabitkan enam keluarga dan kesemua mereka ditempatkan di PPS Balai Raya Bukit Tambun.

Jumlah mangsa banjir di PAHANG turut bertambah iaitu 2,186 orang yang ditempatkan di 21 PPS berbanding 2,183 orang yang berada di 23 PPS petang tadi.

Daerah Rompin kekal merekodkan bilangan mangsa tertinggi iaitu 1,868 orang diikuti Temerloh (173 orang), Pekan (106 orang), Bera (29 orang) dan Maran (10 orang).

Sementara itu, di NEGERI SEMBILAN, jumlah mangsa banjir berkurang kepada 867 individu daripada 235 keluarga berbanding 938 mangsa daripada 272 keluarga di sembilan PPS tengah hari tadi.

Jumlah mangsa banjir di SARAWAK kini menurun kepada 14 orang daripada lima keluarga setakat 7 malam ini berbanding 38 orang daripada 17 keluarga petang tadi.

— BERNAMA


Pengarang :