Pegawai Khas Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Norlena Nayan ketika ditemui di Jelajah Ehsan Rakyat (JER) DUN Meru di Taman Sri Perepat, Kapar pada 14 Mac 2023. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Meru agih 750 baucar beli-belah dua minggu sebelum Aidilfitri

OLEH AZIAN AZIZ

KLANG, 14 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru akan mengagihkan 750 baucar Jom Shopping Hari Raya Aidilfitri bernilai RM200 kepada penerima yang layak dua minggu sebelum sambutan perayaan itu.

Pegawai Khas Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Norlena Nayan berkata agihan dibuat secara berperingkat melalui dua program yang akan diatur pihaknya.

“Pengundi Islam di kawasan ini yang pendapatan isi rumah di bawah RM3,000, mempunyai anak dua orang atau lebih serta masih bersekolah boleh memohon baucar tersebut mulai esok.

“Pemohon perlu datang ke Pusat Khidmat Rakyat di sini untuk mengisi borang,” katanya ketika ditemui di Jelajah Ehsan Rakyat (JER) DUN Meru di Taman Sri Perepat, Kapar hari ini.

Menurut Norlena pihaknya bersyukur kerana tahun ini jumlah baucar yang diagihkan bertambah berbanding 600 pada tahun lalu.

“Alhamdulillah lebih ramai pengundi di DUN Meru mendapat manfaat sempena Aidilfitri,” ujarnya.

Sebelum ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kadar baucar Jom Shopping Perayaan dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 setiap keluarga.

Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri menganggarkan 82,400 penerima bagi program ini yang akan diperuntuk sebanyak RM16.8 juta.


Pengarang :