Jemaah menunaikan solat sunat Tarawih tanpa penjarakan fizikal di Masjid Al-Khairiyah Gombak pada 2 April 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jais utamakan agamawan tempatan imami solat tarawih

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 21 MAC: Larangan kepada imam luar negara untuk mengimami solat tarawih di masjid dan surau di Selangor sepanjang Ramadan bertujuan membuka laluan kepada agamawan tempatan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shazihan Ahmad berkata imam, asatizah, graduan dan pelajar tahfiz tempatan menguasai aspek al-Quran dan ilmu Fiqh dengan baik.

Menjelaskan larangan itu sejajar keputusan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sejak 2015, beliau berkata penglibatan anak tempatan menjadi sebahagian latihan, pengukuhan, keyakinan dan jangkaun para huffaz dengan masyarakat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad. Foto Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Ketetapan juga dibuat sebagai antara usaha menyediakan imam-imam pelapis untuk mengisi keperluan imam di masjid dan surau di negeri ini pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Shahizan berkata keputusan itu juga mengatasi peranan perantara yang menawarkan imam dari luar negara pada kadar bayaran tertentu hingga meminggirkan imam dan huffaz sedia ada.

“Terdapat juga keadaan apabila kehadiran imam luar negara menimbulkan beberapa isu melibatkan perbezaan mazhab dalam pelaksanaan solat selain mengambil kesempatan mengutip derma yang tidak mendapat kebenaran.

“Keputusan ini juga selaras dengan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah,” jelasnya.

EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman (tengah) beramah mesra bersama pelajar ketika majlis penyerahan sumbang Wakaf Al-Quran kepada Maahad Tahfiz An Nur (Mantan) di Taman Puchong Intan, Subang Jaya pada 7 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau juga memaklumkan Jais sentiasa bekerjasama rapat dengan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor dalam menyediakan para huffaz untuk menjadi imam solat Tarawih.

“Pihak masjid dan surau boleh menghubungi Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Jais untuk mendapatkan nasihat dan panduan mengenai perkara ini,” tambahnya.


Pengarang :