BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Kajian buktikan puasa rawat tubuh, hindari penyakit

SHAH ALAM, 30 MAC: Ramadan tiba dan umat Islam diperintah berpuasa setiap hari sepanjang bulan itu dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari.

Orang Islam akan menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa seperti makan, minum, memasukkan sesuatu dalam rongga tubuh yang terbuka dan sebagainya.

Ramadan juga merupakan bulan keberkatan dan dilimpahi rahmat. Umat Islam digalak memperbanyak amalan dan memohon keampunan.

Di sebalik banyak kelebihan spiritual, puasa juga sebenarnya mempunyai manfaat dari sudut fizikal. Apa yang sains cakap tentang kelebihan rukun Islam ketiga itu?

Mengikut sains, ibadah itu mempunyai banyak manfaat. Kajian mendapati berpuasa dapat mengawal paras gula dalam darah dan memperbaiki tindak balas insulin dalam tubuh.

Menurut satu kajian, 10 pesakit kencing manis tahap dua menunjukkan penurunan paras gula apabila berpuasa. Tindak balas insulin yang bagus membolehkan sel-sel kita mudah menyerap glukosa (daripada gula) yang diambil dan menjadi tenaga.

Apa akan jadi kalau tubuh tidak sensitif dengan insulin? Pankreas akan menghasilkan lebih banyak insulin untuk memaksa sel-sel menyerap glukosa.

Untuk jangka panjang, pankreas akan tidak mampu lagi menghasilkan insulin dengan banyak dan kadar gula dalam darah meningkat kerana tidak lagi diserap.

Sebab itu pesakit kencing manis memerlukan suntikan insulin untuk merawat penyakitnya dan mengawal gula dengan lebih baik.

Selain menurunkan risiko diabetes, puasa juga dapat menjadi alternatif mengawal berat badan dan mengurangkan risiko penyakit akibat berat berlebihan dan obesiti.

Malah, berpuasa sebenarnya lebih berkesan menurunkan berat badan berbanding amalan mengurangkan pengambilan kalori. Selain itu, pengurangan berat badan daripada aktiviti berpuasa meningkatkan metabolisme.

Dalam tubuh badan manusia ada hormon yang memainkan peranan dalam pertumbuhan otot dan penurunan berat badan.

Menguatkan jantung

Dalam satu kajian, berpuasa selama 24 jam dapat meningkatkan hormon pertumbuhan dengan berkesan. Ada kajian melaporkan berpuasa sehingga dua hari dapat meningkatkan hormon pertumbuhan sampai lima kali ganda.

Hormon pertumbuhan tinggi membawa kepada penurunan berat badan, menguatkan otot dan meningkatkan metabolisme tubuh.

Berpuasa juga dapat memperbaiki kesihatan jantung kita. Untuk pengetahuan, penyakit jantung merupakan punca utama kematian di seluruh dunia.

Pada 2019, seramai sekitar 18 juta orang mati disebabkan penyakit jantung. Terdapat kajian menunjukkan penduduk Utah, Amerika Syarikat mempunyai risiko penyakit jantung rendah kerana amalan puasa anjuran agama Mormon yang dipegang majoriti rakyat negeri itu.

Bukan setakat itu, berpuasa dapat mendisiplinkan diri daripada makan berlebihan, seterusnya dapat mengurangkan pengambilan kalori.

Kajian menunjukkan berpuasa dapat menurunkan kadar kolestrol, berat lemak dan indeks jisim badan. Kadar kolesterol tinggi menunjukkan lebihan lemak pada salur darah.

Hal ini menyebabkan aliran darah tidak begitu lancar, seterusnya memberikan masalah kepada jantung kerana tidak cukup darah.

Kajian ke atas tikus menunjukkan ‘berpuasa’ dapat memperbaiki fungsi dan struktur otak. Kajian lain mendapati berpuasa dapat melindungi kesihatan otak dan meningkatkan penjanaan sel saraf untuk meningkatkan fungsi kognitif.

Kognitif yang baik menjadikan kita dapat memahami, merenung, mengingati, memproses dan berfikir sesuatu dengan cekap. Sintesis beberapa kajian mencadangkan berpuasa boleh mencegah penyakit parkinson dan Alzheimer.

Bagaimanapun, setakat ini tiada lagi kajian ke atas manusia untuk mengesahkan kesan ‘berpuasa’ ke atas fungsi otak.

Kajian ke atas haiwan juga menunjukkan berpuasa dapat memanjangkan umur. Kajian dibuat antara tikus yang ‘berpuasa’ dan tikus yang diberikan makan pada bila-bila masa sahaja ia minta.

Tikus ‘berpuasa’ menunjukkan jangka hayatnya meningkat sehingga 28 peratus. Malah, tikus yang ‘berpuasa’ lambat mendapat penyakit.

Dalam kajian lain, tikus ‘berpuasa’ dapat membantu menghalang pembentukan ketumbuhan yang membawa kepada barah. Ada juga kajian ke atas haiwan ‘berpuasa’ mencadangkan berpuasa dapat memperlahan proses pembentukan ketumbuhan.

Sama seperti kajian kesan puasa ke atas otak, kajian puasa dapat memanjangkan jangka hayat dan menghalang barah masih belum dilakukan ke atas manusia.

Bagaimanapun, berdasarkan kajian jelas amalan berpuasa memberi manfaat besar kepada kesihatan manusia.


Pengarang :