Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika merasmikan Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Kuala Langat di Banting Waterfront, Kuala Langat pada 5 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Kerajaan Negeri giat kerjasama dengan swasta, pastikan pembangunan wilayah selatan lancar

KUALA LANGAT, 5 MAC: Kerajaan Negeri giat meneruskan perbincangan dengan pihak swasta untuk menjayakan beberapa projek di Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bagi memastikan pelaksanaan projek yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) membabitkan daerah Kuala Langat dan Sepang berjalan lancar.

“Setakat ini (IDRISS) belum sampai ke tahap kebenaran merancang (tetapi) kita sedang melakukan perbincangan dengan beberapa pihak termasuk menyediakan kawasan susulan di Kuala Langat.

“Di Sepang pula (projek) lebih kepada Taman Aeroangkasa dan sekarang masih dalam peringkat perbincangan dengan Sime Darby serta pihak lain sebab ia melibatkan tanah swasta.

“Secara keseluruhan, projeknya banyak seperti (pembinaan) Jalan Sungai Cucur dan Missing Link di Kota Warisan kerana RS-1 gabungan projek Kerajaan Negeri serta swasta dengan Selangor menjadi penyelaras kalau ada masalah,” katanya.

Bercakap selepas merasmikan Jelajah Kita Selangor Penyayang peringkat Kuala Langat di Banting Waterfront di sini hari ini, Amirudin berkata mulai tahun depan Kerajaan Negeri akan menyediakan rancangan separuh penggal bagi menjayakan projek bawah RS-1.

“Kita telah melengkapkan Unit Pelaksanaan dan Pemantauan Prestasi Selangor (SIAP) dalam sesi pemukiman bulan lepas.

“SIAP akan memantau sejauh mana keseluruhan projek RS-1 berjalan selain kekangan dan bagaimana (mengatasi kekangan),” katanya.

IDRISS antara agenda terkandung dalam RS-1 yang diumum Julai lalu bagi membangunkan Sepang dan Kuala Langat.

Dua daerah berkenaan dikenal pasti bagi pembangunan berasaskan wilayah untuk memastikan pengagihan saksama bagi aktiviti ekonomi negeri ini.

Projek pembangunan dicadang seperti sektor perindustrian, perkhidmatan logistik dan pergudangan, pelabuhan, perniagaan, perumahan, pelancongan dan pendidikan.


Pengarang :