SHAH ALAM, 1 MAC: Lebih 2,000 individu dijangka menjalani pemeriksaan kesihatan percuma sepanjang penganjuran Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) yang dijadual berakhir pertengahan Mac.
EXCO kesihatan awam berkata berdasarkan empat siri program yang berlangsung dua minggu lalu, Selangor Saring mendapat sambutan dengan anggaran 300 orang setiap lokasi.

“Kita ada beberapa siri lagi sebelum jelajah berakhir pertengahan Mac ini. Jadi kita anggarkan lebih 2,000 penduduk mendapat manfaat.
“Langkah ini membantu penduduk mengesan penyakit dihadapi sekali gus dapat dirawat lebih awal,” kata Dr Siti Mariah Mahmud ketika sesi temu ramah bersama Media Selangor, semalam.
JKSP yang sebelum ini dikenali sebagai Jelajah Selangor Penyayang (JSP) menyediakan pelbagai acara antaranya saringan kesihatan percuma, jualan barangan asas murah, pameran dan acara santai serta riadah.
Program itu juga menjadi pendekatan Kerajaan Negeri untuk menghebahkan semua program Iltizam Selangor Penyayang kepada rakyat.

Sementara itu Dr Siti Mariah berkata Selangor Saring diteruskan selepas sambutan Aidilfitri meskipun Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
“Bagaimanapun ia bergantung kepada lokasi terutama kawasan yang belum pernah diadakan. Program diteruskan kerana masih ada dana selain ia beri manfaat kepada penduduk,” katanya.
Program dari Mei hingga September tahun lalu dengan kos RM3.4 juta menyasarkan individu yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.
Selain saringan fizikal, Selangor Saring turut menawarkan ujian darah dan air kencing, mata, barah pangkal rahim dan payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.
Skim tersebut ditambah baik tahun ini dengan beberapa lagi saringan antaranya pemeriksaan gigi dan telinga selain mengadakan sesi fisioterapi.