Yang Dipertua MPAJ Mohd Fauzi Mohd Yatim (kiri) melepaskan ikan di Tasik Pandan Perdana, Ampang pada 27 Februari 2023. Foto Facebook MPAJ
PBTSELANGOR

MPAJ anjur pertandingan memancing Ahad ini, tawar hadiah RM17,000

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 3 MAC: Cabaran Joran Ampang Jaya 2023 anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Tasik Pandan Perdana Ahad ini,  menawarkan hadiah keseluruhan RM17,000

Bahagian perhubungan awam dan sekretariat MPAJ berkata pihaknya menyasarkan 1,000 penyertaan dan pertandingan terbuka kepada orang ramai dengan yuran RM40 bagi setiap satu joran.

“500 penyertaan awal akan menerima T-Shirt sumbangan penaja. Program diadakan bagi mempromosi Tasik Pandan Perdana sebagai lokasi ekopelancongan di Ampang Jaya.

“Selain itu, pertandingan dianjurkan bagi menarik minat warga Ampang Jaya untuk memanfaatkan kemudahan Tasik Pandan Perdana bagi aktiviti rekreasi dan sebagainya,” maklumnya dalam kenyataan hari ini.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan  juara pertandingan bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000, naib juara RM2,000 dan ketiga RM1,000.

Manakala bagi tempat keempat hingga ke-10 masing-masing menerima hadiah wang tunai RM200, tempat ke-11 hingga 30 (RM150), tempat ke-31 hingga 70 (RM100) dan tempat ke-71 hingga 100 (RM50).

Peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah antaranya TV 40 inci dan pelbagai peralatan memancing.

Kaunter pendaftaran dibuka di Tasik Pandan Perdana bermula jam 3 petang sehingga 9 malam Sabtu ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pertandingan boleh hubungi Ku Ariffin melalui pautan https://wa.link/1v6xvd.

MPAJ turut melepaskan kira-kira 100 kilogram (kg) ikan patin pada 27 Februari lalu sempena Cabaran Joran Ampang Jaya.


Pengarang :