Setiausaha Politik Menteri Besar Juwairiya Zulkifli. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNAGENDANASIONALSELANGOR

Pelantikan nazir wanita pertama bukti peranan golongan itu diiktiraf

SHAH ALAM, 4 MAC: Pelantikan Profesor Datuk Dr Noor Inayah Yaakub sebagai nazir wanita pertama di Selangor merupakan sejarah buat negeri itu, kata Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati.

Juwairiya Zulkifli berkata ia juga satu isyarat bahawa kemampuan wanita sentiasa diiktiraf di negeri ini melibatkan semua ruang awam sama ada masjid dan juga hal ehwal Islam.

“Saya merakamkan ucapan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di atas kurniaan watikah
pelantikan yang diberikan kepada seorang wanita buat pertama kalinya.

“Perkenan ini menunjukkan sikap dan usaha yang progresif dalam mengembangkan potensi dan peranan wanita di semua peringkat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dr Noor Inayah Yaakub, 53, adalah Presiden dan Naib Canselor Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (UIKL).

Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada beliau di Istana Alam Shah di sini pada Khamis lepas.

Juwairiya yang juga Timbalan Ketua Wanita Keadilan Pusat berkata usaha itu harus diteruskan dan disokong oleh semua pihak.

Bagi penggal 2023 hingga 2025, selain Dr Noor Inayah seramai 1,255 lagi nazir dan imam negeri ini menerima watikah pelantikan.


Pengarang :