AGENDANASIONAL

Selangor tekad turunkan kadar air tidak terhasil 23.5 peratus menjelang 2030

SHAH ALAM, 8 MAC: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bertekad mengurangkan kadar air tidak terhasil (Non-Revenue Water, NRW) ke tahap 23.5 peratus menjelang 2030.

Pemangku pengarahnya berkata usaha dibuat termasuk mengesan kebocoran aktif di paip utama dan sistem perparitan dan pengagihan kerja pembaikan yang efisien, lapor Astro Awani.

Menurut Kelvin Siew, tindakan lain meliputi pengurusan sistem aduan, penggunaan meter pintar ultrasonik dan elektromagnetik selain penggantian aset seperti paip-paip lama.

“Kami juga mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar utiliti bertaraf dunia untuk mempelajari amalan terbaik serta menjalankan usaha penandaarasan supaya operasi dan perkhidmatan Air Selangor setanding utiliti lain di luar negara terutama negara maju,” katanya.

Pada masa sama, Kelvin turut mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang kebocoran melalui pusat panggilan atau aplikasi Air Selangor.

Setakat ini, syarikat tersebut berjaya menurunkan kadar NRW sebanyak 5.5 peratus, iaitu daripada 33.3 peratus pada 2017 kepada 27.8 peratus pada 2022.

 


Pengarang :