Sebuah keluarga terpaksa meredah banjir untuk melihat keadaan kediaman ketika tinjauan di Seri Medan Batu Pahat pada 5 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Senggarang lokasi baharu terjejas banjir di Batu Pahat

BATU PAHAT, 12 MAC: Kawasan Senggarang di sini menjadi lokasi baharu terjejas banjir selepas dinaiki air sejak Jumaat lepas, kata Pegawai Daerah Batu Pahat Nasri Md Ali.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Batu Pahat itu berkata susulan itu, dua pusat pemindahan sementara dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Kadir dan SK Senggarang melibatkan 325 mangsa daripada 81 keluarga setakat 4 petang ini dan dijangka bilangan mangsa akan bertambah.

“Situasi banjir berlaku di kawasan itu dipengaruhi aliran air dari Segamat dan empangan selain pertembungan air pasang.

Air (banjir) akan bertambah tetapi tetap (air itu) mengalir ke laut ditambah dengan bantuan lima pam bergerak yang sudah beroperasi di kawasan itu,” katanya kepada Bernama, di sini, hari ini.

Nasri berkata setakat ini, daerah ini telah menerima 23 pam bergerak yang telah dipasang oleh Jabatan Pengairan dan Saliran bagi membantu pengaliran air keluar.

Beliau berharap dengan pemasangan pam bergerak itu akan memberi kesan penurunan air banjir dalam tempoh seminggu ini.

“Walaupun isipadu (air yang keluar) sedikit tetapi kita tetap berusaha supaya penduduk dapat pulang ke rumah sebelum menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Nasri berkata situasi banjir di Batu Pahat menunjukkan pemulihan apabila kawasan Yong Peng sudah memasuki fasa pembersihan rumah dan beberapa PPS ditutup di daerah ini, manakala kawasan di Seri Medan sehingga Parit Raja masih dinaiki air.

Setakat 4 petang ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan seramai 42,706 orang dengan Batu Pahat mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 39,944 orang.

– BERNAMA


Pengarang :