Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan, Tengku Permaisuri ucap tahniah Michelle Yeoh menang Oscar

SHAH ALAM, 14 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri menzahirkan ucapan tahniah kepada bintang Hollywood kelahiran Malaysia Tan Sri Michelle Yeoh yang memenangi anugerah pelakon wanita terbaik di Anugerah Akademi ke-95 (Oscars 2023).

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin amat mengagumi usaha, bakat dan kejayaan yang diraih wanita kelahiran Ipoh itu menerusi filem Everything Everywhere All at Once yang turut mengharumkan nama negara.

“Baginda turut berharap kejayaan beliau ini akan menjadi inspirasi kepada sekalian rakyat negara ini untuk terus menabur bakti dan jasa demi meletakkan Malaysia ke tahap terbaik di peringkat global dalam apa jua bidang,” tulis Selangor Royal Office di Facebook.

Michelle muncul sebagai pelakon pertama dari Asia memenangi anugerah berprestij itu. Sejak awal tahun ini, beliau diangkat sebagai pelakon wanita terbaik bagi anugerah Golden Globe dan Screen Actors Guild.

Selain dianugerah filem terbaik, Everything Everywhere All at Once turut memenangi kategori pengarah terbaik, pelakon pembantu wanita dan lelaki terbaik, lakon layar asal terbaik, dan suntingan terbaik.

Michelle yang memegang watak sebagai pemilik kedai dobi Evelyn, menewaskan tiga pencabar bagi kategori pelakon wanita terbaik – Cate Blanchet (Tár), Ana de Armas (Blonde), Andrea Riseborough (To Leslie) dan Michelle William (The Fabelmans).


Pengarang :