Foto Arkib Selangorkini
AGENDANASIONAL

Suami isteri maut, anak cedera kemalangan di Baling

ALOR SETAR, 1 APRIL: Pasangan suami isteri maut manakala anak lelaki mereka yang berusia dua tahun cedera selepas van yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 41.02 Jalan Baru Kulim-Baling, dekat Baling, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam itu, Saiful Azmi Mohd Razali, 35, maut di tempat kejadian manakala isterinya Sailulhayati Mat Isa, 36, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kulim.

Katanya, anak pasangan itu, Amar Rizqi yang duduk di bahagian belakang penumpang mengalami kecederaan di kepala serta kulit tangan kirinya terbakar telah dibawa ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati van jenis Nissan yang dinaiki tiga beranak itu dalam perjalanan dari arah Baling menghala ke Kulim sebelum dipercayai hilang kawalan dan melanggar tembok jambatan di bahagian kiri jalan.

“Perlanggaran itu telah menyebabkan van berpusing dan sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu dipandu seorang guru lelaki yang berada di belakang van tersebut tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian depan van berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shamsudin berkata kemalangan itu menyebabkan pasangan suami isteri berkenaan meninggal dunia akibat kecederaan parah manakala pemandu pacuan empat roda yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Kulim.

“Mayat pasangan suami isteri yang berada di Unit Forensik Hospital Kulim akan menjalani proses bedah siasat pagi ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :