Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cenderahati kepada Timbalan Rektor UIAM, Prof. Dr. Akmal Khuzairy Abd. Rahman selepas program Munaqasyah Ilmiah sempena Festival Turath Islami Selangor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 24 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerjasama sekolah pondok, universiti beri manfaat besar pada masyarakat

GOMBAK, 24 MEI: Dato’ Menteri Besar menyarankan institusi tradisional seperti sekolah pondok menjalinkan kerjasama dengan pihak universiti berikutan manfaat besar termasuk kepada masyarakat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata hubungan berkenaan boleh dimulakan dengan penganjuran dialog bersifat taaruf supaya kedua-dua pihak dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih lanjut.

“Dengan rendah hati saya ingin menyarankan agar masing-masing pihak memulakan usaha lebih tersusun dan serius agar terjalin hubungan lebih akrab antara kedua-dua institusi ini.

“Misalnya para alim ulama di pondok lebih memahami pandangan dan kegiatan sarjana di universiti dan sebaliknya.

Peserta bergambar bersama bekas Mufti Besar Mesir, Syeikh Dr Ali Jum’ah selepas program Munaqasyah Ilmiah sempena Festival Turath Islami Selangor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 24 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sarjana boleh mengetahui kebimbangan, keprihatinan serta kegiatan di pondok ini,” katanya.

Beliau berucap ketika merasmikan program Munaqasyah lmiah sempena Festival Turath Islami Selangor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia hari ini.

Majlis dihadiri bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Dr Ali Jum’ah turut disertai 145 ulama dari institusi pengajian Islam tradisional, ahli akademik dan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) muslim.

Festival Turath Islami Selangor berlangsung sehingga esok anjuran Kerajaan Negeri bertujuan mengangkat perbincangan dan penghayatan mengenai kitab Ihya’ Ulumuddin karya Imam al-Ghazali.

Majlis dengan kerjasama Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) menyasarkan penyertaan 2,500 warga Selangor dan rakyat Malaysia dengan pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian menerusi www.turathislamiselangor.com

IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri, bakal menterjemah 15 karya mulai tahun ini termasuk kitab Ihya Ulumuddin yang bakal diterbit dalam 20 siri dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026.


Pengarang :