Kulit buku Muslihat Mahathir: Mengharungi Zaman Gelora terjemahan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dari naskhah asal Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times karya Barry Wain. Foto IBDE
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Buku dedah tipu daya Mahathir, kelirukan kawan dan lawan

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Benarkah Tun Dr Mahathir Mohamad seorang “diktator” ketika memimpin negara sepanjang 22 tahun? Benarkah politik wang dan rasuah berkembang biak sejak beliau mengambil alih Malaysia mulai 1981?

Di mana bermula krisis perlembagaan antara perdana menteri dengan Raja-Raja Melayu, pada 1993 atau sejak lebih awal dari 1983 lagi? Peristiwa serangan di Memali pada 1985, bagaimana ia berkembang?

Buku Barry Wain dengan judul terjemahan Muslihat Mahathir: Mengharungi Zaman Gelora cuba menjawab persoalan-persoalan yang terus menjadi tanda tanya ramai.

Selain itu, naskhah asalnya Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times mendedahkan RM100 bilion telah hilang, tiris, rugi atau diseleweng sepanjang pentadbiran Dr Mahathir – dakwaan yang dinafikannya.

Namun, bekas editor Asian Wall Street Journal yang berpengalaman luas itu sebelum meninggal dunia pada 2013 mempertahankan jumlah tersebut dan fakta perkembangan politik yang dinyatakan dalam karyanya.

Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), penggerak projek terjemahan karya penting Siri Pencerahan Selangor, menyifatkan buku itu berjaya membongkar “muslihat Dr Mahathir yang sukar dijangka menjadikannya seorang negarawan yang handal mengelirukan kawan dan juga lawan”.

Badrul Hisham Ismail, yang menterjemah bersama Mardhiyyah Abadan, pula menggambarkan Dr Mahathir sebagai “gedebe”, suka melawan sesiapa sahaja yang dianggap musuh, di dalam atau di luar Umno.

“Dia hanya melawan siapa yang cuba mencabarnya, dan digunakan segala kuasa yang ada supaya dia yang menang akhirnya. Dan apabila dia tidak lagi memegang kuasa, tidak semua yang dia mahukan boleh tercapai,” katanya.

Profesor Khoo Boo Teik menyimpulkan Dr Mahathir sebagai pemimpin penuh “paradoks” dalam bukunya yang terkenal Paradoxes of Mahathirism. Wain turut menunjukkan pertentangan itu dalam soal retorika anti-Amerika Syarikat.

Tentera Amerika

Walau sering menyerang Barat, Dr Mahathir diam-diam mengadakan kerjasama ketenteraan dengan Amerika Syarikat tidak lama selepas meneraju negara. Sewaktu lawatan ke Washington pada 1984, tulis Wain, perdana menteri bertemu Presiden Ronald Reagan dan Setiausaha Pertahanan Caspar Weinberger.

Selain skandal demi skandal muncul bawah kepemimpinan Dr Mahathir, pengarang Malaysian Maverick juga menyebutkan beliau gemar projek mega walau akhirnya gagal dan tidak melatih pengganti yang boleh terus memimpin negara.

Rekod hak asasi manusia memang sering dipertikaikan dalam tempoh itu. Badrul Hisham merumuskan buku Wain menjelaskan tempoh lebih dua dekad itu menyaksikan penghakisan ruang demokrasi.

“Kalau kita mahu lihat kesan pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun itu, yang paling utama ialah institusi demokrasi negara kita hampir hancur. Apa yang tinggal hanya cengkerangnya sahaja, isinya lompong,” kata penterjemah itu.

Amnesty International menganalisa dengan perinci rekod buruk hak asasi itu melalui undang-undang Dr Mahathir dalam laporan menarik Malaysia: Human Rights Undermined – Restrictive laws in a parliamentary democracy.

Daripada 13 bab Malaysian Maverick, Prof Madya Dr Maznah Mohamad nampak Wain berjaya menggambarkan tindakan politik Dr Mahathir telah menukar negara semacam parti Umno atau “party-state”.

Bab 3 hingga 6, kata Dr Maznah, melakarkan proses penukaran sistem pentadbiran Malaysia kepada “negara parti” yang dikuasai seorang yang sangat berkuasa (strong man).

“Chapter 3 is especially critical. It showed how Mahathir achieved his crowning moment in deploying his political and Machiavellian skills in saving himself and the party,” tulis pensyarah itu ketika mengulas karya tersebut.

Sewaktu berkrisis dengan Raja-Raja Melayu pada 1983 dan 1993, pada bab 8 pula, Wain sendiri menggambarkan tindak-tanduk Dr Mahathir membolot kuasa sebagai “Agong yang tidak ditabalkan”.

“The erosion of the rulers’ stature and influence ‘diminished their constraining role in tempering the exercise of executive powers’, which Dr Mahathir proceeded to wield with unprecedented latitude.

“In a remade constitutional landscape, he had no need to contemplate a republic. He was the uncrowned king,” kata Wain dalam edisi pertama terbitan 2009.

Karya berimbang

Namun karya terjemahan IBDE, Muslihat Mahathir: Mengharungi Zaman Gelora, mengambil edisi kedua Malaysian Maverick (terbitan 2012) yang telah memasukkan jawapan balas Dr Mahathir terhadap buku tersebut.

Edisi kedua diterbitkan selepas buku riwayat hidup Dr Mahathir, A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad, yang muncul dua tahun selepas edisi pertama Malaysian Maverick.

Untuk menyiapkan karyanya, Wain menemu bual beberapa kali Dr Mahathir dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Ali.

Jadi karya ini dianggap lebih berimbang walau tidak segan-silu membongkar tindak-tanduk politik Dr Mahathir dan bagaimana beliau mendaki tangga-tangga kekuasaan setelah terpelanting daripada Umno pada 1969.

Dipecahkan kepada tiga bahagian, Muslihat Mahathir menceritakan sejak awal kesedaran politik tokoh itu ketika Perang Dunia Kedua pada 1940-an dan bagaimana sepak terajang kekuasaan membuka matanya.

Sebulan sebelum 13 Mei 1969, menurut catatan di kulit belakang buku terjemahan IBDE, Dr Mahathir menulis dalam sebuah akhbar tempatan: “Saya tahu tanda-tanda itu sudah ada. Kalau saya ulang semula nanti, waktu itu mungkin sudah terlambat.”

“Dengan derianya yang tajam”, menurut catatan itu lagi, “Dr Mahathir turut meninjau keperluan untuk seorang anak kampung mempengaruhi politik sebuah negara.”

“Setelah tergolong sebagai doktor Melayu terawal, namanya bukan sekadar naik pantas bahkan beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun lamanya. Era itu digelar zaman kemodenan Malaysia, namun beliau tetap tidak lepas daripada bukti-bukti salah guna kuasa dan layanan kejam terhadap seteru politik.”

Sebahagian kita mungkin sudah lupa atau tidak mengetahui pelbagai babak politik dan skandal tetapi buku ini berjaya mengupas dengan ringkas lagi padat bermacam-macam isu yang merosakkan negara.

Antaranya, kehilangan lebih RM2.5 bilion Bumiputera Malaysia Finance (BMF), kerugian tukaran wang asing, projek kilang besi Perwaja dan juga perebutan kuasa dengan kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah hingga Umno diharamkan pada 1988.

Begitu juga pertarungannya dengan bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, tangkapan besar-besaran dalam Operasi Lalang dan pertembungan dengan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas.

Skandal lain termasuklah pemberian kad pengenalan kepada warga asing untuk didaftarkan sebagai pengundi di Sabah dalam Projek IC dan krisis paling berlarutan susulan pemecatan timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun Wain juga melihat sisi positif Dr Mahathir dalam usaha memodenkan Malaysia. Buku setebal 592 muka surat itu turut membahaskan legasinya setelah meletakkan jawatan pada 2003.

Muslihat Mahathir dijangka mula dijual di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur antara 26 Mei hingga 4 Jun ini.


Pengarang :