Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis semarakkan Syawal Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 18 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rumah terbuka MBI promosi RS-1, teroka peluang bersama pelabur

SHAH ALAM, 18 MEI : Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kali ini menampilkan kelainan apabila penganjurannya turut mempromosi Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata majlis itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh MBI untuk meneroka peluang bersama tetamu dalam kalangan pelabur bagi menjayakan pelan pembangunan itu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama tetamu jemputan sempena majlis semarakkan Syawal Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 18 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Konsep rumah terbuka ini amat sinonim dengan budaya masyarakat Malaysia tetapi rumah terbuka MBI bukan hanya menyajikan juadah raya yang enak.

“Sebaliknya, ia turut menyajikan santapan minda dengan inisiatif terbaharu Kerajaan Negeri iaitu RS-1. Kita gunakan kesempatan untuk mengadakan pameran berkaitan inisiatif ini dan mungkin ia boleh diteroka bersama syarikat dan pelabur yang datang pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis rumah terbuka Semarakkan Syawal MBI bersama Dato’ Menteri Besar di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini.

Pameran itu menampilkan pelan inisiatif pembinaan Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS), Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) dan Zon Pembangunan Ekonomi Gerbang Maritim Selangor (ZPE-SMG).

Projek itu akan mengukuhkan status Selangor sebagai pusat pertumbuhan ekonomi dan destinasi utama untuk pelaburan berkualiti di Malaysia dan rantau ini.

Penyanyi Anuar Zain menghiburkan tetamu sempena majlis semarakkan Syawal Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 18 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, lebih 1,000 tetamu hadir ke majlis rumah terbuka itu yang terdiri dalam kalangan para pelabur, anak syarikat Kerajaan Negeri dan beberapa rakan strategik.

Pada majlis itu, tetamu turut dihiburkan dengan dendangan lagu daripada penyanyi terkenal Anuar Zain.


Pengarang :