Pegawai Khas ADN Seri Serdang Danial Al-Rashid Haron (tujuh dari kiri) bersama mangsa terjejas ribut selepas penyerahan sumbangan baik pulih rumah di perkarangan Balai Raya Kampung Orang Asli Sungai Rasau Hilir, Puchong pada 1 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Seri Serdang salur sumbangan lebih RM25,000, baiki rumah mangsa ribut

PUCHONG, 1 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang menyalurkan sumbangan RM25,164.60 kepada mangsa ribut di Kampung Orang Asli Sungai Rasau Hilir di sini.

Pegawai Khas ADN Seri Serdang Danial Al-Rashid Haron berkata kejadian ribut di kampung itu berlaku pada 28 April lalu sehingga menjejaskan 10 kediaman.


Pegawai Khas ADN Seri Serdang Danial Al-Rashid Haron bercakap kepada media selepas penyerahan sumbangan perkakas baik pulih rumah di perkarangan Balai Raya Kampung Orang Asli Sungai Rasau Hilir, Puchong pada 1 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Bantuan diberi dalam bentuk peralatan yang mana kita minta mereka (mangsa) perincikan kerosakan dialami kemudian kita salurkan barangan tersebut.

“Selain bantuan baik pulih rumah mangsa terjejas ribut, kita turut menghulurkan sumbangan kepada keluarga yang mana rumah mereka berada dalam keadaan uzur dan perlu diberi wajah baharu demi keselesaan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan kepada wakil penduduk Kampung Orang Asli Sungai Rasau Hilir di sini hari ini.

Beliau yang mewakili Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang Dr Siti Mariah Mahmud berharap bantuan diberi itu meringankan beban penduduk sekali gus memberikan mereka keselesaan.

Sementara itu, Tok Batin Baharuddin Bakar turut mengucapkan terima kasih kepada pejabat ADN terhadap sumbangan itu yang disifatkan membantu penduduk untuk membaik pulih rumah.

Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Rasau Hilir Baharuddin Bakar. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Ini merupakan bencana terburuk melanda kampung kami sehingga menjejaskan banyak rumah. Alhamdulillah dengan adanya bantuan pejabat ADN, penduduk boleh menarik nafas lega.

“Syukur kerana tiada kemalangan nyawa atau kecederaan berlaku ketika ribut tempoh hari cuma rumah sahaja terjejas termasuk beberapa kerosakan harta benda,” katanya yang sudah berkhidmat lebih setahun sebagai tok batin kawasan itu.

 

Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Rasau Hilir Baharuddin Bakar menunjukkan bantuan yang disumbangkan Ahli Dewan Negeri Seri Serdang Dr Siti Mariah Mahmud kepada mangsa ribut Kampung Orang Asli di perkarangan Balai Raya Kampung Orang Asli Sungai Rasau Hilir, Puchong pada 1 Jun 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :