Usahawan mengadakan perbincangan bersama Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) dalam program Hijrah Tour Selangor di Pustaka Raja Tun Uda pada 31 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Program Hijrah tingkatkan kualiti produk, masuk pasaran luar

SHAH ALAM, 1 JUN: Usahawan di bawah program Hijrah Tour Selangor (HITS) menyifatkan program itu platform lengkap dalam membantu usahawan memasarkan produk ke peringkat global.

Pengarah Urusan AZ Empire Trading berkata program anjuran Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) itu peluang beliau untuk meningkatkan kualiti produk setanding dengan pasaran luar.

Azue Zakaria yang mengusahakan produk pencuci pakaian berkata Hijrah banyak membantu termasuk memberikan modal pusingan sehingga RM29,000.


Pengarah Urusan AZ Empire Trading, Azue Zakaria ditemui dalam program Hijrah Tour Selangor (HITS) di Pustaka Raja Tun Uda pada 31 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya mula berniaga tahun lepas dan program ini sangat bagus kerana memberi kesedaran kepentingan jenama bagi produk.

“Menerusi program ini saya sasar produk keluaran syarikat dapat ditambah baik terutama pembungkusan kerana mahu dipasarkan ke luar negara,” katanya ditemui dalam program itu di Pustaka Raja Tun Uda, di sini semalam.

Sementara itu pengusaha minuman berasaskan Roselle, Farkhana Nasron berkata program itu merupakan persediaan untuk memasarkan produk ke luar negara selain lebih dikenali di Malaysia.

“Apabila Hijrah memaklumkan program ini, saya terus bersetuju kerana ia merupakan medium untuk mempromosi produk minuman Roselle kepada masyarakat.

Pengusaha Sorrellicious Roselle, Farkhana Nasron ditemui dalam program Hijrah Tour Selangor (HITS) di Pustaka Raja Tun Uda pada 31 Mei 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya teruja kerana bahan utama produk ini ditanam sendiri dan ia juga banyak khasiat. Menerusi program ini, ia memudahkan usahawan kerana dapat bertemu sendiri dengan agensi berkaitan,” katanya yang mengeluarkan jenama Sorrellicious.

Terdahulu, Hijrah membawa 30 usahawan terdiri daripada industri makanan, minuman, produk kecantikan dan wangian menyertai program HITS yang berlangsung sehingga Ahad ini di Pustaka Raja Tun Uda.

Hijrah turut membawa beberapa agensi kerajaan untuk membantu usahawan antaranya Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah), Platform Selangor (PLATS), platform e-dagang, MyMall dan syarikat perisian Apps Engage.


Pengarang :