Pelajar teknologi automotif Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) memeriksa keseluruhan kereta yang ditenggelami air banjir termasuk pendawaian secara teliti. FOTO FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

STDC sasar pelajar sekolah menengah, jamin wujudkan ekosistem TVET menyeluruh

SHAH ALAM, 10 JUN: Kerajaan Negeri bakal memperluaskan kerjasama dengan sekolah menengah bagi mempertingkatkan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) dalam kalangan pelajar.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin berkata usaha menerusi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) itu merupakan langkah penyediaan ekosistem menyeluruh dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran.

“Tadi kita lihat pelajar cemerlang dan kini mereka bertanggungjawab dalam bidang mengurus, menyelenggara dan baiki kenderaan. Selepas ini kita akan mula berganjak ke sektor pembuatan dan diisi graduan STDC.

“Namun ia tidak hanya terhenti kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. Jadi kita mula cari ruang untuk sekolah menengah. Bagaimana jaringan dibuat di peringkat itu untuk pastikan TVET ada ekosistem menyeluruh,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Majlis Konvokesyen STDC ke-23 di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Amirudin berkata usaha Kerajaan Negeri mewujudkan STDC ternyata berhasil kerana menjadi pilihan ramai berikutan tawaran kerjaya di samping bayaran gaji tinggi.

“Sebelum ini orang anggap (STDC) peluang kedua untuk pelajar yang gagal masuk universiti tetapi secara perlahan-lahan sehingga sekarang, Kerajaan Negeri jadikan bidang ini pilihan utama.

“Kita akan atur peluang kerja yang memberi pendapatan tinggi. Sekarang yang sedia ada miliki pendapatan cukup tetapi kita mahu pelajar tingkatkan lagi kualiti dan kemahiran,” katanya.

STDC yang dijenamakan daripada Kolej Antarabangsa INPENS pada Ogos 2020 merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk merencana Agenda Pendidikan Unggul bawah strategi Belanjawan 2020.

Menerusi langkah itu STDC menawarkan pelbagai latihan kemahiran yang berkualiti dan berimpak tinggi ke arah Revolusi Industri 4.0.


Pengarang :