Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Mohammad Sahar Mat Din berucap pada majlis perasmian Wacana Ekonomi Ummah 1.0 bersempena Mesyuarat Agong Tahunan Kali Ke-26 DPIM Selangor di Quayside Mall Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 14 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Dewan perdagangan tekad perkasa ekonomi digital patuh syariah, tingkat nilai jualan

KUALA LANGAT, 14 OKT: Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) tekad memperkasa ekonomi digital berteraskan Islamik dan menyemai budaya jihad dalam kalangan pengusaha muslim.

Presidennya Mohammad Sahar Mat Din berkata penekanan terhadap aspek itu mengambil kira perkembangan kutipan jualan perniagaan digital berjumlah RM20 bilion tahun lalu dilapor tidak patuh syariah.

“Di DPIM kami titik berat soal pembangunan perniagaan berteraskan Islamik. Memang betul perniagaan ekonomi digital berkembang, tetapi kita perlukan penekanan kepada konsep Islamik dan pematuhan syariah.

“Jadi kami bersama DPIM Selangor akan berjuang berhabis-habisan (perkasa ekonomi digital berteraskan Islamik). Alhamdulillah, ada ahli kami yang sudah lama berjuang dengan DPIM mula menunjukkan kejayaan demi kejayaan,” katanya di Quayside Mall, Telok Panglima Garang di sini hari ini.

Berucap pada Wacana Ekonomi Ummah 1.0 sempena Mesyuarat Agong Tahunan ke-26 DPIM Selangor, Mohammad Sahar berkata pihaknya juga berhasrat mewujudkan pusat pameran perdagangan bagi mempromosi produk usahawan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) menerima sijil penghargaan daripada Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Selangor Mohd Yahya Mat Sahri (tiga, kiri) selepas merasmikan Wacana Ekonomi Ummah 1.0 bersempena Mesyuarat Agong Tahunan Kali Ke-26 DPIM Selangor di Quayside Mall Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 14 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Beliau juga memohon pentadbiran negeri mempertimbang permohonan sebidang tanah untuk dibeli pada harga berpatutan bagi tujuan itu sekali gus merancakkan pembangunan usahawan di Selangor.

“Setakat ini kami tiada dewan khusus dan jika ada sebidang tanah yang boleh dibeli pada harga berpatutan, insya-Allah kami bersedia bina pusat pameran itu dengan gabungan ahli DPIM.

“Kami boleh buat pameran sepanjang tahun di Selangor, tidaklah hanya bermusim pada acara-acara tertentu. Melalui usaha ini, kami percaya Selangor bakal jadi hab pembangunan usahawan,” katanya lagi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat reruai pameran selepas merasmikan Wacana Ekonomi Ummah 1.0 bersempena Mesyuarat Agong Tahunan Kali Ke-26 Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Selangor di Quayside Mall Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 14 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :