Kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta pelbagai agensi lain menyertai Program Kutip Sampah Sambil Riadah (Kudah) Sungai Ampang serta sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat Parlimen Ampang di Kampung Muhibbah Ampang, Ampang Jaya pada 15 Oktober 2023. Foto MPAJ
PBTSELANGOR

Rangka motosikal, permaidani antara barangan dikeluarkan dari Sungai Ampang

AMPANG JAYA, 15 OKT: Rangka motosikal, besi dan permaidani antara barangan dikeluarkan dari jajaran Sungai Ampang di Kampung Muhibah, Lembah Jaya di sini, pada program Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) hari ini.

Program anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan kerjasama Parlimen Ampang itu membabitkan penyertaan 250 individu terdiri daripada komuniti, pelajar termasuk kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta Jabatan Pengairan dan Saliran.

Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad berkata dianggarkan satu tan metrik sisa pelbagai jenis dikutip sepanjang program bagi memulihara sungai dan alam sekitar berlangsung.

“Program ini mampu memberi kesedaran kepada masyarakat setempat kerana kita dapati terlalu banyak sampah dibuang ke dalam sungai hingga menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan baik.

“Kita harap orang ramai sedar kepentingan jaga sungai, apatah lagi ia merupakan sumber bekalan air. Jika tercemar dengan bahan sepatutnya boleh menjejaskan kehidupan kita dan ekosistem lain,” katanya. Hadir sama Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail dan Pengarah LUAS Hasrolnizam Shaari.

Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail (dua, kanan) meninjau sungai selepas merasmikan Hari Sungai Sedunia peringkat Parlimen Ampang dan Program Kutip Sampah Sambil Riadah (Kudah) Sungai Ampang di Kampung Muhibbah Ampang, Ampang Jaya pada 15 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Sementara itu, Rodziah berkata aktiviti gotong-royong membersihkan sungai wajar dijadikan rutin mingguan meski kualiti sungai di Ampang ketika ini pada tahap tiga.

“Aktiviti ini patut disambut oleh semua pihak dan jadikan ia aktiviti seminggu sekali. Insya-Allah jika berterusan, sungai yang ada di Ampang akan berada dalam keadaan baik.

“Saya inginkan pesona Ampang baik sungai mahupun bukit dapat dinikmati semula. Kita akan rasa bangga apabila pergi ke tempat begini dalam keadaan bersih serta sedap mata memandang,” katanya.

Sebelum ini, KUDAH dilaksanakan di beberapa kawasan berhampiran Sungai Ampang antaranya Jalan Kosas 1/1, belakang Laman Niaga, Ampang Waterfront dan Kampung Melayu Ampang.

Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail (empat, kanan) ketika Hari Sungai Sedunia peringkat Parlimen Ampang dan Program Kutip Sampah Sambil Riadah (Kudah) Sungai Ampang di Kampung Muhibbah Ampang, Ampang Jaya pada 15 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Dr Ani Ahmad turut serta mengutip sampah pada Hari Sungai Sedunia peringkat Parlimen Ampang dan Program Kutip Sampah Sambil Riadah (Kudah) Sungai Ampang di Kampung Muhibbah Ampang, Ampang Jaya pada 15 Oktober 2023. Foto MPAJ

Pengarang :