Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Polis utamakan terima laporan, bukan pakaian pengadu

NIBONG TEBAL, 9 DIS: Polis Pulau Pinang menjelaskan keutamaan pasukan itu ialah untuk menerima laporan daripada pengadu dan bukanlah memastikan pakaian yang dikenakan sesuai atau tidak semasa membuat laporan polis.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata demikian susulan dakwaan seorang lelaki bahawa beliau diminta menukar kepada seluar panjang terlebih dahulu sebelum dibenarkan membuat laporan mengenai kejadian kecurian dan keretanya dipecahkan penjenayah, Khamis lalu.

Khaw berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap anggota polis terlibat.

“Polis Pulau Pinang sentiasa mengamalkan konsep berkhidmat untuk masyarakat dan mereka yang datang ke balai polis memerlukan bantuan.

“Maka keutamaan ialah menerima laporan polis untuk mengambil tindakan segera dan membantu mangsa yang memerlukan…bukanlah pakaian sesuai atau tidak sesuai semasa membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Khaw berkata berdasarkan semakannya arahan menukar seluar dibuat oleh seorang anggota Polis Sukaralewan Simpanan (PVR) yang bertugas di pondok pengawal balai polis ketika itu.

Beberapa portal berita melaporkan lelaki berusia 34 tahun itu sedang menjamu selera di sebuah pusat penjaja di Bukit Tambun di sini bersama keluarganya sebelum mendapati cermin keretanya dipecahkan.

Beliau yang berseluar pendek pergi ke Balai Polis Simpang Ampat bagi melaporkan kehilangan wang tunai RM800 dan pasport isterinya yang juga warganegara China, namun diarahkan untuk menukar seluar kepada seluar panjang.

Lelaki itu kembali ke tempat kejadian bersama keluarganya selepas dilarang memasuki Balai Polis Simpang Ampat dan kemudian memeriksa semak-samun berhampiran dengan harapan pencuri meninggalkan pasport isterinya di situ sebelum didatangi anggota polis.

Selepas menceritakan kejadian keretanya dipecahkan, anggota polis itu menyuruh lelaki tersebut ke Balai Polis Bukit Tambun dan beliau dapat membuat laporan polis tanpa sebarang masalah.

– BERNAMA


Pengarang :