10,000 peserta Felcra menerima Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Felcra agih dividen RM74 juta kepada lebih 70,000 peserta

KOTA BHARU, 28 MAC: Felcra Berhad sudah mengagihkan bayaran dividen kepada lebih 70,000 peserta di seluruh negara bernilai RM74 juta bagi musim ketiga tahun lalu.

Pengerusinya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata dengan bayaran yang sudah dilunaskan itu diharap dapat membantu meringankan beban peserta untuk membuat persiapan Aidilfitri tahun ini.

“Jumlah dividen ini bergantung kepada harga pasaran minyak sawit mentah dunia. Pada bulan ini harga minyak sawit mentah nampak agak stabil melebihi RM4,000 bagi satu tan.

“Kita harap trend kenaikan ini berterusan bagi membolehkan dividen lebih banyak dapat diagihkan kepada peserta,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Bahagian UMNO Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata bagi bayaran pertama dividen 2024 akan dibayar Mei depan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Jazlan menyeru kerajaan negeri mengambil langkah segera dan tuntas dalam menyelesaikan masalah bekalan air menjelang Aidilfitri yang bakal disambut dua minggu lagi.

“Kepulangan perantau akan menyebabkan penggunaan air semakin meningkat, kita tidak mahu masalah air menjejaskan sambutan Aidilfitri,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :