AGENDANASIONAL

Hutang isi rumah cecah RM1.53 trilion, pinjaman kediaman antara faktor

KUALA LUMPUR: Kadar hutang isi rumah negara mencecah agregat RM1.53 trilion pada akhir 2023, sebahagian besarnya melibatkan pinjaman perumahan dan kenderaan, maklum perdana menteri.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, peningkatan sejak 2018 turut didorong insentif cukai jualan dan perkhidmatan bagi pembelian kenderaan bermotor antara 2020 dan 2022, lapor Berita Harian.

“Mengikut jenis pembiayaan, bahagian terbesar hutang ialah pinjaman perumahan merangkumi 60.5 peratus, diikuti pinjaman kenderaan (13.2 peratus) dan pembiayaan peribadi (12.6 peratus).

“Ia juga termasuk pinjaman untuk perkara lain seperti pembelian harta bukan kediaman, hutang kad kredit, sekuriti dan lain-lain,” katanya seperti dilaporkan portal itu.

Beliau berkata jumlah hutang isi rumah mencatatkan RM1.19 trilion pada 2018, RM1.25 trilion (2019), RM1.32 trilion (2020), RM1.38 trilion (2021) dan RM1.45 trilion (2022).

Tambah Anwar, nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar dalam tempoh sama turut meningkat sedikit kepada 84.2 peratus berbanding 82 peratus pada 2018.


Pengarang :