Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika sesi mesyuarat bersama Naib Canselor Jerman Robert Habeck di Berlin pada 13 Mac 2024. Foto AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri
AGENDANASIONAL

Misi ke Jerman, Perancis jana potensi pelaburan RM46 bilion

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Malaysia meraih potensi pelaburan bernilai RM46 bilion dan eksport RM2.4 bilion menerusi misi perdagangan dan pelaburan ke Jerman dan Perancis, baru-baru ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ini turut menyaksikan penyertaan syarikat terkemuka seperti X-Fab, Melexis, Infineon Technologies AG, Airbus Group, Schott Glass, BMW, Nexperia, B-Braun, Michelin, Institut de Soudure (IS) Groupe dan Simaero.

Beliau yang mengetuai misi itu berkata tiga syarikat turut berkongsi rancangan pelaburan masing-masing serta minat untuk menjalin kerjasama strategik di Malaysia yang memberi sumbangan besar terhadap landskap ekonomi negara dari segi pemindahan teknologi dan penciptaan pekerjaan bernilai tinggi di negara ini.

Dari segi potensi eksport, beliau turut mengadakan perbincangan dengan Airbus Group, Deutsche Bahn, Safran dan X-Fab (Perancis) untuk mengukuhkan minat berterusan mereka dalam mendapatkan sumber dari Malaysia.

“Interaksi perniagaan dengan syarikat Jerman dan Perancis ini adalah sebahagian daripada penglibatan strategik kita untuk berkongsi mengenai perkembangan serta kemas kini pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, komitmen kita terhadap pelaksanaan projek secara pantas serta pendirian mesra perniagaan Malaysia bagi mengembangkan pelaburan dan perdagangan.

“Pintu Malaysia sentiasa terbuka kepada syarikat dari Jerman dan Perancis, dua pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kuasa perindustrian Eropah yang turut membuka laluan ke arah pembangunan selain memacu ekonomi kita,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata usaha penglibatan itu juga bertujuan meningkatkan pembabitan Malaysia dalam rantaian nilai global, sekali gus memudahkan penyertaan seterusnya dalam pasaran antarabangsa.

“Usaha memupuk hubungan kerjasama dengan penggiat utama di Perancis dan Jerman akan membolehkan Malaysia mengembangkan lagi jejak dalam perdagangan global dan mengukuhkan kedudukan sebagai rakan kongsi yang diyakini serta berdaya saing dalam pelbagai industri,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Kementerian Perdagangan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata misi ke Perancis juga menyaksikan satu mesyuarat dua hala antara Tengku Zafrul dan rakan sejawatannya dari Perancis, Franck Riester yang juga Menteri Perdagangan Luar, Daya Tarikan Ekonomi dan Hal Ehwal Warga Perancis di Luar Negara.

Kedua-dua pihak juga saling bertukar pandangan dan berkongsi perkembangan terkini yang bermanfaat dalam mengukuhkan kerjasama ekonomi dua hala.

Fokus pertemuan itu adalah bidang kepentingan bersama, termasuk memajukan inisiatif peralihan tenaga, menggalakkan penggunaan amalan ekonomi hijau dan meninjau potensi bagi menyambung semula rundingan perjanjian perdagangan bebas dengan Kesatuan Eropah.

MITI juga menyifatkan perbincangan berkenaan menekankan komitmen bersama bagi memperkasa kerjasama ekonomi dan memanfaatkan peluang untuk pertumbuhan mampan antara Malaysia dan Perancis.

Misi yang bermula pada 11 Mac dan berakhir semalam, merangkumi bandar Berlin dan Hamburg di Jerman selain Paris di Perancis.

Usaha misi ke Jerman adalah bersempena dengan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu dari 11 hingga 15 Mac 2024.

Delegasi misi itu disertai oleh pegawai MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia.

Pegawai-pegawai berkenaan turut menyertai mesyuarat peringkat tinggi dengan syarikat-syarikat Eropah dalam sektor sasaran di bawah NIMP 2030 seperti semikonduktor, automotif, aeroangkasa, kimia, peranti perubatan selain mesin dan peralatan.

-BERNAMA


Pengarang :