Keterangan gambar (atas kiri, ikut arah jam) : jambatan Sungai Batang Kali, jambatan Sungai Kerling, Perpustakaan Awam Kuala Kubu Bharu, Masjid Kampung Melayu Rasa, kolam air panas, pasar awam Kuala Kubu Bharu
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Kemudahan awam di Kuala Kubu Baharu dinaik taraf, bantuan kebajikan disalur

Oleh Nazli Ibrahim, Norrasyidah Arshad & Siti Rohaizah Zainal

Pelbagai projek pembangunan kemudahan awam giat dijalankan mendiang Lee Kee Hiong sejak dipilih wakil rakyat Kuala Kubu Baharu (KKB) pada 2013.

Beliau sentiasa menjaga kebajikan rakyat, lebih-lebih lagi ada tujuh kampung tradisi, enam kampung baharu dan enam kampung Orang Asli, kebanyakannya berpendapatan rendah yang memerlukan pembelaan.

Terkenal dengan sikap ramah saat bersua orang ramai, beliau memastikan prasarana awam untuk masyarakat sentiasa mencukupi dan berfungsi dengan baik.

Kee Hiong berusaha menjayakan projek jutaan ringgit demi keselesaan rakyat antaranya melebar atau mengganti jambatan, membina masjid, menurap jalan dan menaik taraf pasar awam.

Ia termasuk menaik taraf 19 kemudahan awam menggunakan peruntukan Projek Selangor Penyayang yang disediakan Kerajaan Selangor, sebahagiannya telah siap akhir tahun lalu (rujuk jadual).

Sebaik menang kali ketiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) KKB pada pilihan raya negeri lalu, beliau menyalur pelbagai bantuan kebajikan negeri kepada golongan berpendapatan rendah termasuk ibu tunggal, warga emas dan kanak-kanak.

Ia antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) iaitu RM300 sebulan kepada ibu tunggal, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) pula menyediakan baucar beli-belah RM200 kepada warga emas manakala ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) menerima kelengkapan persekolahan.

Ketika pandemik Covid-19 melanda pada 2022, Kee Hiong mengadakan program Vaksin Selangor (SELVAX) Booster dan peruntukan RM250,000 digunakan bagi membantu B40 dan orang kurang upaya.

Dalam Pakej Kita Selangor 1.0 dan 2.0, ribuan penduduk setempat termasuk pemandu bas, teksi, ibu tunggal dan individu yang hilang pekerjaan menerima manfaat hasil peruntukan RM100,000.

Penduduk yang ditimpa bencana lain juga tidak diabai. Kee Hiong menghulur bantuan wang ringgit dan bakul makanan kepada mangsa banjir, nelayan dan penghidap penyakit tertentu.

Menurut Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Simon Chen, Kee Hiong juga berjasa kerana mengatasi isu paip bocor yang berlarutan selama 60 tahun dan menjejaskan 350 penduduk Kampung Asam Kumbang.

“Paip sudah lama. Setiap minggu pasti ada laporan paip bocor. Selama jadi pengerusi, tiap minggu saya dapat aduan. Ini mendatangkan masalah kepada rutin harian penduduk.

“Pada 2018, mendiang usahakan. Minta peruntukan termasuk Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd. Dalam tempoh setahun, masalah selesai. Kita dapat paip baharu,” katanya kepada Selangorkini.

Bukan itu sahaja. Mantan wakil rakyat itu juga memainkan peranan penting dalam memastikan penduduk kampung berkenaan menerima jalan baharu.

“Jadi tar rosak. Ada berlopak, tidak rata. YB (Kee Hiong) yang berusaha bantu orang kampung ini dapat jalan baharu,” kata beliau lagi.

Selain itu, meski KKB jauh dari ibu kota, beliau mengembleng tenaga memajukan kawasan itu supaya dikenali ramai dengan memulihara bangunan lama dan lokasi bersejarah selain kawasan rekreasi alam.

Sememangnya, Kerajaan Selangor mahu mengekal keunikan bangunan bersejarah sebelum atau pascamerdeka, sesuai kedudukan KKB sebagai bandar warisan bersejarah pertama.

Tiga monumen di KKB juga diwarta antara 19 tapak warisan di Selangor iaitu balai polis trafik KKB pada 2015, Masjid Ampang Pechah (2012) dan makam Saiyid Mansor Mohamad Ash-Shahab (1983).

Selangor pimpinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut merangka Rancangan Kawasan Khas KKB 2025 bagi memastikan khazanah seni bina kolonial dan tempatan terpelihara.

Menurut Pengurus Komunikasi Korporat Tourism Selangor Ahmad Nazri Tashriq Rahmat, seramai 70,193 pelancong termasuk 7,328 dari luar negara mengunjungi KKB sepanjang tahun lalu.

“Pelbagai tarikan yang menarik kehadiran pelancong. Selain alam semula jadi, terdapat juga tempat penginapan, restoran dan acara atau festival diadakan di KKB,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal pilihan raya kecil di DUN berkenaan masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

Pada 21 Mac, Kee Hiong meninggal dunia akibat barah yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu. Berikutan itu, pilihan raya kecil ditetapkan pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.

PRK berkenaan yang ketujuh diadakan selepas pilihan raya umum 2023. Terdapat seramai 40,226 pengundi berdaftar di DUN tersebut termasuk polis dan tentera.

 

 


Pengarang :