Pemandangan bandar raya Shah Alam yang dilanda jerebu pada 13 September 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA

Kualiti udara di Johan Setia semakin buruk

SHAH ALAM, 17 SEPT: Laporan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) bagi kawasan Johan Setia, Klang didapati semakin meningkat dari 222 pada 11 malam tadi kepada 235, pada 10 pagi ini.

Sementara bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Klang pula semakin membimbangkan iaitu pada paras 196 menghampiri tahap udara sangat tidak sihat.

Kuala Selangor dan Banting mencatatkan bacaan 181, Shah Alam (173) dan Petaling Jaya (163), sekali gus mencatatkan kualiti udara tidak sihat.

Semalam Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memaklumkan sebanyak 145 sekolah di daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling Perdana ditutup hari ini ekoran keadaan jerebu yang semakin serius.

Penutupan sekolah itu membabitkan 23 sekolah di Sepang, 36 (Hulu Langat), 21 (Kuala Langat), 27 (Klang) dan 38 sekolah di Petaling Perdana.

Seramai 187,928 pelajar terbabit dalam penutupan sekolah berkenaan dan pentadbir sekolah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa.


Pengarang :