EKONOMI

Ekonomi negara diramal positif jika PAKATAN ke Putrajaya

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 JAN: Penganalisis ekonomi meramalkan ekonomi negara berkembang lebih positif jika Pakatan Harapan (PAKATAN) menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, keadaan ini turut mendorong kepada pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

“Jika PAKATAN mengambil Putrajaya, pertumbuhan ekonomi lebih laju di mana kita tahu nilai ringgit dipengaruhi pelbagai faktor seperti kenaikan harga minyak, perkembangan eksport, pengawalan pertumbuhan import, duit tak dicuri untuk disorok ke luar negara. Ini antara faktor mempengaruhi nilai ringgit.

“Kalau PAKATAN menang, kita tahu hutang negara lebih terkawal kerana ini memang dasar PAKATAN.

“Ekonomi juga berkembang ekoran nilai eksport lebih pesat jika kita tegas membendung isu rasuah, tidak ada pengaliran wang haram ke luar negara atau setidak-tidaknya lebih terkawal,” katanya ketika dihubungi SelangorKini , hari ini.

Jelasnya, langkah tegas mendakwa pemimpin kleptokrasi juga memberi kesan signifikan kepada aliran keluar wang secara haram.

Katanya, semua langkah ini mewujudkan trend pengukuhan nilai pertukaran mata wang ringgit.

Katanya lagi, senario ini menyebabkan timbul minat lebih tinggi dalam kalangan masyarakat perdagangan antarabangsa untuk melabur di Malaysia.

Selain itu, dasar PAKATAN yang dilihat pro rakyat dan mengurangkan kos pengeluaran dijangka mampu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat khususnya melibatkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah

“Dasar PAKATAN dalam hal ekonomi dan dasar awam yang lain seperti ‘menzerokan’ Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), mengembalikan subsidi barangan keperluan utama, polisi membenteras pembaziran dan rasuah ini dilihat positif bukan sahaja kepada pelabur asing tetapi juga rakyat Malaysia.

“Jika dasar ini dilaksanakan harga barangan akan lebih rendah, kos hidup juga rendah di mana ini menggembirakan rakyat berbanding sekarang dikenakan GST, tiada subsidi, harga minyak naik menyebabkan kehidupan mereka terhimpit,” katanya lagi.


Pengarang :