BERITA UTAMASELANGOR

IDE: Sokongan terhadap MB dan Kerajaan Negeri meningkat 65%

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 JAN: Sokongan rakyat Selangor terhadap Kerajaan Negeri diterajui Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, meningkat 65 peratus menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Hasil kajian Institut Darul Ehsan (IDE) pada awal Januari ini mendapati ia meningkat tiga peratus berbanding 62 pratus pada kajian dijalankan, pada Ogos tahun lalu.

Timbalan Pengerusinya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, catatan peningkatan itu satu petanda positif kepada kepimpinan Dato’ Menteri Besar untuk memenangi PRU14.

“Peningkatan kepercayaan rakyat mencerminkan tawaran Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dikemukakan dalam tempoh pentadbirannya menunjukkan kesan positif dan efektif dalam membela isu rakyat.

“Ini sekali gus menunjukkan penerimaan positif terhadap Belanjawan 2018 dibentangkan bagi memastikan kesejahteraan hidup penduduk Selangor,” katanya.

Beliau berkata, IDE menjalankan kajian penerimaan rakyat Selangor terhadap kepimpinan Mohmed Azmin sejak 2015 iaitu dari awal memikul amanah sebagai Dato’ Menteri Besar.

Kajian terbaru IDE pada 5 hingga 7 Januari lalu, katanya, membabitkan 3,277 responden iaitu pengundi di Selangor merangkumi semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapati Mohamed Azmin selaku pemimpin mesra rakyat, turun padang dan mampu membawa kemajuan, di Selangor.

Responden adalah terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India serta terdiri daripada pelbagai latar belakang pekerjaan, tempat tinggal, taraf pendidikan dan lain-lain diprofil berdasarkan nisbah 2,247,3565 pengundi, di negeri itu.

“Hasil dapatan ini menunjukkan sokongan kepada gabungan Pakatan Harapan (PAKATAN) di bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar terus kukuh dan dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan kerajaan sedia ada walaupun berhadapan dengan isu seperti persempadanan baru pilihan raya dan pertandingan tiga penjuru.

“Pada masa sama, sokongan kepada Umno-Barisan Nasional (BN) didapati semakin merosot dan amat terserlah berhubung ketidakpuasan hati rakyat dalam isu berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kenaikan harga barang, penyelewengan, keyakinan kepimpinan dan rasuah,” katanya.

Beliau berkata, kaji selidik dijalankan merangkumi penyelidikan pelbagai isu semasa seperti jika berlaku pertandingan tiga penjuru, persepsi rakyat terhadap parti politik, kecenderungan pengundian, pandangan terhadap su semasa, prestasi perkhidmatan wakil rakyat di DUN dan pencapaian inisiatif Kerajaan Negeri.

Katanya, ia diperoleh daripada Survei Mood Rakyat Selangor 2018 menjelang PRU14 dijalankan IDE yang dilaksanakan secara sistematik membabitkan 50 penemuduga terlatih dan dilakukan secara bersemuka menggunakan inovasi terkini dan aplikasi IDE e-survey dibangunkan IDE.


Pengarang :