NASIONAL

Inflasi Pengguna meningkat 3.5% Disember 2017

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Indeks Harga Pengguna Malaysia (IHP) yang mengukur inflasi meningkat 3.5 peratus kepada 120.9 pada Disember 2017, berbanding 116.8 pada bulan sama 2016 terutama disebabkan indeks pengangkutan, makanan dan minuman.

Antara kumpulan utama yang merekodkan peningkatan ialah indeks pengangkutan (+11.5 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (+4.1 peratus), restoran dan hotel (+2.6 peratus), kata Jabatan Perangkaan hari ini.

Indeks bagi kumpulan pengangkutan menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 11.5 peratus tahun ke tahun pada Disember 2017, selepas meningkat 10.8 peratus pada November 2017, kata jabatan itu dalam satu kenyataan lapor BERNAMA.

Harga purata satu liter petrol RON95 ialah RM2.27 pada Disember 2017, berbanding RM1.90 pada Disember 2016. Bagi RON97, harga purata meningkat kepada RM2.55 pada Disember 2017 berbanding RM2.25 pada Disember 2016.

Bahan api dan pelincir bagi peralatan pengangkutan peribadi menyumbang 7.8 peratus wajaran IHP.

Antara lain, hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah meningkat 2.4 peratus, kesihatan (+2.3 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.2 peratus).

Bagaimanapun, pada asas bulanan, IHP meningkat 0.1 peratus pada Disember 2017.

Antara indeks barang makanan merekodkan peningkatan ketara pada Disember 2017 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya ialah kacang panjang (+19.3 peratus), sotong (+13.5 peratus) dan bayam (+10.2 peratus).

Selain itu, sawi (+7.9 peratus), ikan kembung (+7.6 peratus), ikan cencaru selayang (+6.1 peratus), udang (+4.7 peratus), ayam (+4.3 peratus) dan ikan tenggiri (+3.6 peratus).


Pengarang :