BERITA UTAMASELANGOR

MB: RM9.7 juta diperuntuk bangun masyarakat India

OLEH NAZLI IBRAHIM

BATU CAVES, 31 JAN: Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM9.7 juta bagi membantu masyarakat India di negeri itu dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk melibatkan institusi keagamaan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan itu meliputi sumbangan bernilai RM5 juta untuk meningkatkan taraf pendidikan pelajar India, RM1.76 juta untuk kuil dan RM3 juta untuk latihan dalam bidang keusahawanan.

“Setiap tahun kita berikan tambahan dan pada tahun ini kita naikkan peruntukan untuk sekolah-sekolah Tamil di seluruh Selangor sebanyak RM5 juta untuk membantu anak-anak kita.

“Kerajaan Negeri bertanggungjawab memberi bantuan kewangan kepada kuil untuk penganut Hindu, kita telah memperuntukan sebanyak RM1.764 juta untuk semua kuil di Selangor bagi 2018 dan pada malam ini sahaja saya menyampaikan kira-kira RM450,000 untuk pengurusan kuil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Perayaan Thaipusam di perkarangan Kuil Sri Subramaniyar di sini, malam tadi.

Jelasnya, peruntukan program pembangunan keusahawanan untuk masyarakat India ditambah daripada RM1 juta tahun lalu kepada RM3 juta pada tahun ini kerana pada tahun lalu program itu berjaya melahirkan 470 usahawan masyarakat India.

Katanya, Kerajaan Negeri memberi perhatian dalam bidang ekonomi dan pendidikan untuk masyarakat India kerana kedua-dua bidang itu mampu meningkatkan taraf hidup dan memajukan masyarakat terbabit.

“Diharap dengan sokongan kuat diberikan Kerajaan Negeri, orang India dalam Selangor ini merasa selamat dan selesa kerana negara ini adalah negara kita sebagai rakyat Malaysia yang bersatu padu,” katanya.

=EZY=


Pengarang :