PBTSELANGOR

MDKL turun padang selesai isu setempat

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 23 JAN: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) akan melaksanakan program turun padang bertemu masyarakat untuk bersama menyelesaikan sebarang isu dihadapi, di daerah itu.

Yang Dipertua MDKL, Mohammad Zain A Hamid berkata, pihaknya akan bertemu sendiri dengan golongan sasaran yang sudah ditetapkan.

“Sesi dialog dianjurkan untuk mendengar masalah masyarakat, pada masa sama kita akan tanya keperluan mereka dan menjelaskan perancangan yang akan dilakukan.

“Hal ini untuk mengelakkan masyarakat yang sering menyalahkan pihak majlis dalam sesuatu isu walaupun ia bukan di bawah seliaan kami,” katanya selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Penuh MDKL Bil. 1 2018, di sini, hari ini.

Mohammad Zain berkata, program itu masih dalam perancangan sama ada MDKL akan turun padang di setiap kawasan, pada setiap bulan atau mengikut kesesuaian.

Dalam mesyuarat sama, beliau turut meminta peniaga pasar malam bersama menjaga petak niaga supaya bersih, sebelum dan selepas operasi perniagaan.

“Saya harap peniaga mempunyai kesedaran sendiri untuk menjaga petak gerai masing-masing, terutama soal kebersihan seperti keadaan ketika datang.

“Kita belum melaksanakan tindakan undang-undang tetapi memberikan penerangan dahulu. Ada segelintir peniaga menjadi punca kepada keadaan sekitar yang kotor.

“Peniaga harus ingat, kita bukan tempat mengadu semata-mata tetapi pada masa sama, mereka juga perlu fikir tindakan sewajarnya,” katanya.


Pengarang :