SASTERA

Menjengah perspektif realis dalam Salina

Oleh Amir Hafyan Fadhil

Foto ihsan Lejen Press

PERTAMA kali membelek adikarya Sasterawan Negara (SN) A Samad Said,  timbul pertanyaan apakah faktor yang mengangkat Salina sebagai sebuah karya sastera paling diingati sehingga sekarang?

Adakah kerana ketebalan muka suratnya menjadikan Salina sebuah karya yang berjaya memandangkan tiada lagi roman Melayu pada masa itu mempunyai ketebalan seperti itu. Adakah kerana peristiwa dalam Salina punya nilai tambah yang berbeza memandangkan kisahnya menggambarkan pengalaman Pak Samad semasa dan selepas perang, disebutnya dalam Dari Salina ke Langit Petang, “Perang sentiasa menjadi peristiwa yang besar mempengaruhi perjalanan hidup manusia-manusia yang kecil.”

Atau, paling nakal sekali, adakah kerana kontroversi yang melingkari novel itu yang mengangkat Salina ke tempat tersendiri?

Berbicara seputar pengenalan novel itu, Salina antara novel yang memperoleh hadiah penghargaan dalam peraduan menulis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1958;  antara novel yang mendapat perhatian meluas dalam kritikan sastera dan diterjemah ke beberapa bahasa asing.

Salina dikarang pada 1957 atau 1958  dan latar masanya ialah selepas Perang Dunia kedua dan sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, antara 1945 dan 1955. Tema besar yang ditonjolkan dalam Salina ialah suasana kehidupan penduduk tempatan akibat bahana bencana perang dan bagaimana setiap watak memainkan peranannya dalam mendepani hidup selepas perang.

Mungkin, paling menonjol ialah kritikan almarhum SN Shahnon Ahmad terhadap Salina “yang tidak memperlihatkan nilai-nilai Islam dan muflis dari segi iman” menjadikan novel itu sentiasa punya ‘pasang surut’. Beliau mungkin menghujahkan pendekatan penilaian sesebuah kesusasteraan Melayu berdasarkan “teks dan aspek dalamannya sebagai penentu mutlak tentang perihal kesusasteraan sebuah roman Melayu”. Mungkin sekurang-sekurangnya bagi sesiapa yang pernah menelaah Salina pasti bersetuju dengan hujah Shahnon dan terdetik di benaknya, “Mengapa Salina tidak pernah berdaya menjadi manusia ‘melawan’ dengan situasi yang melingkarinya, lebih-lebih lagi bila dikaitkan dengan watak Abdul Fakar?”

Jika ditekuni, novel itu bukanlah berkisar pada kehidupan Siti Salina semata-mata (meski judulnya ialah Salina) kerana dalam novel itu sebenarnya terkandung tiga cerita: tentang Salina, konflik Zarina dan Nahidah (tragedi rumah tangga kerana kegagalan seorang ibu tiri untuk mendirikan rumah tangga yang aman dan harmoni); dan terakhir tentang Hilmy (tragedi pemuda yang cita-cita tingginya terkandas akibat kemiskinan). Di sini Siti Salina berperanan menjadi sebagai kakak, adik dan isteri; menjadi penghubung kepada kepada watak-watak tadi hingga mewujudkan kesatuan dalam keseluruhan novel. Tiap watak punya bahagiannya dalam perkembangan cerita. Siti Salina, Nahidah, Sunarto, Hilmy, Haji Karman dan Razman mewakili aspek-aspek yang positif; Abdul Fakar dan Zarina pula mewakil aspek negatif.  Hakikatnya, mereka disatukan sebagai sisa-sisa tragedi perang dan terpaksa meneruskan hidup dalam situasi yang diwujudkan oleh perang.

Mengenai idea dan isi kandungan novel berdasarkan perspektif realis Pak Samad tidak kurang mendapat reaksi positif dan negatif dalam kalangan pengkritik sastera tanah air. Idea dan jalan cerita bertema tragedi dan elemen desakan keadaan (juga disebut sebagai takdir) yang dialami setiap watak ekoran perang dan perjuangan mencari rezeki . Desakan itu telah menemukan penulis dengan dua jenis perwatakan manusia. Pertama, manusia yang berjerih-perih dan sentiasa optimis menghadapi penderitaan perang; kedua, manusia oportunis yang sentiasa mengambil kesempatan atas susah payah orang lain.

Watak Salina walaupun tidak disebut secara jelas pekerjaannya, namun ia boleh diagak pembaca walaupun Pak Samad ‘bijak’ menyembunyikan hakikat pekerjaannya. Salina hanya bersiap-siap pada awal malam untuk ke ‘tempat kerja’ dan pulang lewat tengah malamnya. Perkara ini berulang-ulang dan ada ditegur oleh Haji Karman — mewakili pandangan metafizik, yang ingin mengubah penduduk kampungnya melalui ajaran agama dan moral tetapi sedar beliau tidak dapat menyelesaikan masalah “perjuangan mereka untuk mendapat sesuap nasi pagi dan petang”.

Zarina tergolong dalam watak yang oportunis meski sama-sama mengalami kesusahan akibat perang dan kemiskinan kerana punya pandangan hidup berbeza dengan Salina. Sikapnya lebih kepada kesan sistem kolonial yang kejam apabila seluruh rakyat ditekan, akibatnya mereka mencapai kepuasan dalam kehidupan yang ‘kotor’. Dalam hal ini, Zarina memaksa anak tirinya, Nahidah untuk menjadi pelayan agar pendapatan itu dapat membeli barang perhiasan yang lama diimpikan. Semua watak di atas diangkat Pak Samad mungkin bagi menunjukkan simpatinya terhadap mereka yang tertindas dek keadaan sekeliling.

Tema humanis mungkin sihat jika dibandingkan dengan novel lain yang hanya mengangkat moral untuk mengubah keadaan tanpa mengkaji pengaruh sistem yang membelenggu, namun ‘bahaya’nya tetap ada kerana ia membesarkan peranan takdir dan memperkecilkan peranan manusia untuk mengubah nasibnya.

Akhirnya, kita boleh sahaja bersetuju dengan kritikan yang dilontar Shahnon terhadap Salina yang ‘gagal’ mengangkat tema keagamaan, namun kita perlu terbuka kerana Pak Samad menulis karyanya bukan untuk mendidik semata-mata; namun ‘bercerita’ kisah realis yang wajar direnungi umum khususnya perihal kesan perang yang sangat merosakkan.

Maka atas alasan itulah, Salina lahir sebagai peringatan buat kita semua. Ini boleh dikuatkan dengan pandangan Ungku Maimunah Mohd Tahir yang menghujahkan bahawa penentuan ‘nilai’ sastera jauh dari mutlak kerana seringkali hakikat sesebuah karya terhasil daripada persekitaran yang dialami oleh penulis berbeza-beza manakala implikasinya ke atas karya tersebut jarang diambil kira sebagai nilai-tambah terhadap sesebuah roman Melayu dan dianggap ‘bukan-sastera’.

Biasanya pendekatan yang dominan dalam menilai sastera Melayu yang mementingkan intrinsik sahaja (text-centered) masih boleh dipersoal kerana terbukti antara sebab turun-naiknya sesebuah karya turut  dipengaruhi oleh faktor-faktor di luar teks.

*Amir Hafyan Fadhil adalah pemenang hadiah penghargaan kategori esei Hadiah Sastera Selangor 2017


Pengarang :