SELANGOR

Veteran ATM terharu terima sumbangan RM10,000

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 16 JAN: Usaha menyantuni veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus membuka tirai bagi tahun ini dengan memperuntukkan RM10,000 kepada bekas pesara yang kehilangan kaki dan mata kanannya.

YM Raja Musa Raja Abdul Rahman, 66, berasal dari Banting pernah berkhidmat sebagai tentera lebih 20 tahun.

Beliau berkata, dirinya kehilangan mata dan kaki akibat terkena jerangkap samar di Betong, Thailand ketika bertugas dalam satu operasi.

“Ketika itu saya berusia 26 tahun dan masih bujang. Apa yang berlaku tidak melemahkan saya untuk terus berkhidmat,” katanya kepada SelangorKini di kediamannya, di sini selepas penyerahan cek sumbangan oleh Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, semalam.

Mengulas berkenaan sumbangan itu, beliau terharu dengan keprihatinan ditunjukkan Kerajaan Negeri.

Katanya, beliau berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang menjadi perintis memulakan sumbangan sedemikian kepada bekas ATM.

“Setakat ini, saya belum pernah menerima sebarang bentuk bantuan. Ini kali pertama.

“Apa yang diharapkan pesara seperti saya ialah bantuan dan diharapkan bantuan begini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2018, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mencadangkan program itu diteruskan dengan menaikkan peruntukan kepada RM1.5 juta.

Sementara itu, Dr Daroyah berharap bantuan terbabit diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban diri dan keluarganya.

“Menteri Besar kita sangat prihatin terhadap golongan ini dan berbesar hati memberi bantuan kepada mereka untuk menjalani kehidupan harian,” katanya.

 


Pengarang :