NASIONALPENDIDIKAN

55 sekolah ditutup di Sarawak hari ini

KUCHING, 8 FEB: Keadaan banjir yang semakin buruk di Sarawak menyebabkan 55 sekolah ditutup dan tidak beroperasi hari ini, kata Jabatan Pendidikan Sarawak.

“Seramai 6,637 pelajar tidak dapat mengikuti pembelajaran ekoran penutupan 55 sekolah berkenaan,” kata jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), lapor BERNAMA.

Banjir itu turut menyebabkan 16 klinik kesihatan terjejas termasuk lima klinik tidak dapat beroperasi.

“Lima klinik terbabit ialah Klinik Kesihatan Nanga Taroh, Mukah; Klinik Kesihatan Sungai Arip, Sibu; Klinik Kesihatan Ulu Teru, Miri; Klinik Kesihatan Nanga Tau dan Klinik Kesihatan Sangan di Bintulu,” kata kenyataan itu.

JPBNS ​turut melaporkan, jumlah penduduk terjejas ekoran banjir terus meningkat kepada 5,562 mangsa yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi ini berbanding 4,859 malam tadi.

Semua mangsa yang terdiri daripada 1,682 keluarga itu ditempatkan di 32 PPS di Samarahan, Serian, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Limbang.

Mangsa banjir paling ramai dicatatkan di Samarahan iaitu 1,483, Bintulu (1,321), diikuti Serian (1,227), Sibu (978), Limbang (453), Mukah (92) dan Sarikei (8).


Pengarang :