SELANGOR

Internet memudaratkan anak, awasi kaedah penggunaan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 FEB: Ibu bapa disarankan mengawasi anak masing-masing khususnya dalam penggunaan internet yang boleh memudaratkan mereka.

Ahli Dewan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafei berkata, peranan ibu bapa dalam melindungi kanak-kanak sama ada dalam realiti atau alam maya masih menjadi tanggungjawab mutlak mereka.

Katanya, tindakan ibu bapa mengawal tindakan berlebihan itu mampu mengatasi ketagihan internet atau gadjet anak mereka.

“Dunia sangat moden masa kini dan pelbagai perkara didedahkan dalam internet. Oleh itu, ibu bapa perlu mengawal dan mengatasinya supaya tidak memudaratkan anak,” katanya pada Perasmian Seminar Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) dan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), di Majis AL-Falah, Jalan Kebun, di sini.

Shuhaimi berkata, risiko utama untuk kanak-kanak berhubung internet yang perlu dipandang serius ialah buli siber, grooming siber dan dera atau eksploitasi seksual siber kerana sifat internet itu sendiri global, menjangkau batasan undang-undang negara, mudah diakses oleh pelaku dan mangsa, anonimiti juga teknologi itu sendiri.

“Jika dulu, penggunaan internet menggunakan telefon pintar amat terhad kepada golongan profesional tapi kini akses Internet menerusi telefon bimbit bukan sesuatu yang luar biasa.

“Sehubungan itu, ibu bapa perlu berkongsi dan mendekati anak untuk membantu serta melihat sendiri perkembangan mereka,” katanya.


Pengarang :