SUKANKINI

K Rajagobal belum putuskan kedudukan Mohd Safee

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 FEB: Jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagobal enggan terburu-buru membuat keputusan untuk menurunkan ketua pasukan, Mohd Safee Mohd Sali pada perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang Hanelang FC, Jumaat ini sekali pun sudah pulih daripada kecederaan.

Katanya, beliau akan terus memantau perkembangan pemain berusia 34 tahun itu walaupun telah kembali menjalani latihan selepas Mohd Safee terlepas aksi Liga Super menentang Kedah yang menyaksikan mereka tewas 3-4.

“Saya masih ada beberapa hari untuk menamakan kesebelasan utama. Ketiadaan Safee dalam perlawanan menentang Kedah tempoh hari memang dirasai namun kami tidak boleh mengambil risiko menurunkannya jika dia belum benar-benar pulih atau cergas,” katanya memetik laporan Berita Harian Online

Rajagobal berkata, PKNS FC akan turun bersama barisan pemain terbaik berdepan Hanelang yang berstatus Liga FAM dan enggan memperjudikan nasib pasukan dengan menurunkan barisan simpanan kerana tidak rela diaibkan lawan.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan mungkin memberi peluang kepada beberapa pemain yang belum atau jarang beraksi dalam Liga Super tanpa menjejaskan struktur kekuatan pasukan itu.

“Saya tidak mahu terperangkap dengan pandangan ramai bahawa perlawanan ini mudah untuk kami kerana Hanelang adalah pasukan Liga FAM.

“Saya sentiasa menganggap setiap perlawanan adalah sukar, tidak kira siapa lawan kami. Apatah lagi dalam perlawanan kalah mati seperti ini, anda tidak boleh membuat eksperimen kerana tersilap langkah, boleh membawa padah.

“Oleh itu, saya akan tetap turunkan barisan terbaik kerana matlamat kami adalah memenangi perlawanan ini serta melangkah ke pusingan seterusnya,” katanya.


Pengarang :