SELANGOR

MDKS: Pemilik anjing kena ada lesen sah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 28 FEB: Pemilik anjing daerah Kuala Selangor digesa mendapat dan memperbaharui lesen yang tamat tempoh 31 Januari setiap tahun daripada Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS).

Setiausahanya, Azman Dahlan berkata, tindakan diambil bagi memastikan pemilik dapat memelihara haiwan itu dengan betul dan berhemah.

“Pemohon perlu mengemukakan sijil kesihatan dan status anjing yang disahkan Pegawai Jabatan Haiwan Negeri Selangor serta doktor veterinar berdaftar.

“Pemilik juga perlu memelihara anjing daripada baka yang elok mengikut piawaian ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, katanya, pemilik boleh memohon lesen di Jabatan Kesihatan dan persekitaran MDKS dengan bayaran RM 12.10 setahun.

Sementara itu, sebanyak lapan kawasan disediakan MDKS bagi membolehkan pemilik mendapat lesen berkenaan.

Antaranya Dewan Dato Hormat, Tanjong Karang, Dewan Telok Piai, Kuala Selangor dan Dewan Sungai Buloh.

Ia juga termasuk di Medan Selera Astana, Puncak Alam, Dewan Desa Coalfield, Dewan Saujana Utama, Dewan Harmoni Ijok dan Dewan Bestari Jaya.

Untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MDKS di talian 03-3281 2235.


Pengarang :