AGAMASELANGOR

Kerajaan Negeri dukung usaha pengajian bersijil Masjid Shah Alam

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 10 FEB: Kerajaan Negeri akan terus mendukung usaha terhadap program Pengajian Bersijil Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah supaya ilmu islam akan terus menjadi paksi utama kepada kemajuan negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tahun lalu Kerajaan Negeri menyumbang RM0.5 juta bagi menjayakan program itu secara berterusan.

“Sokongan itu akan kita teruskan untuk tahun ini kerana sambutan yang diberikan cukup baik dalam kalangan umat Islam bukan sahaja di Shah Alam tetapi turut disambut baik warga luar.

“Saya juga yakin dengan adanya umat yang komited kepada ilmu yang menjadi saksi kepada keesaan Allah SWT, maka sudah pasti Allah SWT akan melimpahkan rahmatnya ke atas Selangor supaya terus maju,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvokesyen Pengajian Bersijil sesi 2017 Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Grand Ballroom, Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Selain itu, Mohamed Azmin turut menyokong program itu dengan melihat tradisi keilmuan tidak terbatas kepada usia muda tetapi dilihat daripada sudut lebih besar apabila graduan adalah mereka yang sudah lanjut usia tetapi cukup istiqamah dan bertekad untuk menimba ilmu.

Difahamkan, seramai 488 pelajar hadir bagi menerima sijil bagi kali ke-17 sesi 2017 selepas berjaya menamatkan pengajian dalam empat aliran antaranya Pengajian Talaqi Al-Quran, Pengajian Taranum, Pengajian Bahasa Arab dan Pengajian Syariah.


Pengarang :