SUKANKINI

Real Madrid dikejutkan gol dramatik Pazzini, Seri 2-2

MADRID 4 FEB: Bekas penyerang kebangsaan Itali, Giampaolo Pazzini menjaringkan gol penyamaan lewat dramatik ketika Levante mengikat penyandang juara, Real Madrid 2-2 pada aksi La Liga, awal pagi tadi.

Keputusan seri di laman lawan itu menyaksikan skuad kendalian Zinedine Zidane kini ketinggalan 18 mata di belakang pendahulu liga, Barcelona, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Sergio Ramos menanduk masuk gol pada minit ke-11 untuk membenarkan pelawat mendahului perlawanan yang juga gol ke-50 buatnya dalam kempen La Liga tetapi Levante menyamakan kedudukan sebelum babak pertama berakhir menerusi Emmanuel Boateng.

Isco yang dikeluarkan daripada bangku simpanan kembali meletakkan Real di depan pada minit ke-81 tetapi Pazzini mengejutkan barisan pertahanan pelawat yang tampak bergelut apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-89 pada aksi pertamanya.

“Kami mengawal permainan, terutama pada babak pertama, dan di separuh masa kedua, kami berjaya melakukan perkara yang paling sukar, iaitu kembali ke permainan dan menjaringkan gol kedua,” kata Zidane.

“Kemudian selepas itu kami sepatutnya sudah bersedia, kami boleh mengelak gol kedua lawan tetapi kami tidak melakukannya dan ia adalah sukar kerana dua mata sudah dibazirkan.”

Satu-satunya peluang realistik Real untuk menjulang trofi pada musim ini adalah dalam kempen Liga Juara-Juara tetapi mereka berdepan laluan sukar termasuk dijadual bertemu gergasi Perancis, Paris Saint-Germain di peringkat 16 terakhir.

“Kami perlu bekerja lebih keras, ini adalah bola sepak dan lawan sentiasa berada di sana dan memberikan kesukaran kepada kamu,” kata Zidane.

Barcelona boleh menjarakkan kedudukan kepada 21 mata di depan seteru utamanya itu jika mencatat kemenangan menentang kelab tetangga Catalan, Espanyol, malam ini ketika kelab tangga kedua, Atletico Madrid menanti kunjungan pasukan tangga ketiga, Valencia di Wanda Metropolitano.

SUMBER: AFP


Pengarang :